Ibu, wanita asas kemajuan negara, pembinaan masyarakat Madani - PM

Ibu, wanita asas kemajuan negara, pembinaan masyarakat Madani – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Peranan ibu dan wanita dalam institusi keluarga merupakan tunjang utama kepada kemajuan negara serta pembentukan masyarakat Madani yang berakhlak, berilmu dan berdaya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur menerusi kemajuan fizikal, teknologi dan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh pembentukan insan yang bermula dalam institusi keluarga.

Menurutnya, didikan awal yang diberikan oleh ibu bapa, khususnya golongan ibu menjadi akar kepada pembinaan masyarakat yang baik dan sejahtera.

“Di sinilah letaknya peranan ibu dan wanita. Sebesar mana pun kemajuan sesebuah negara, pendidikan awal yang lahir daripada institusi keluarga, khususnya didikan seorang ibu, merupakan akar kepada pembinaan sebuah masyarakat yang baik.

“Jika akar itu dibentuk dengan baik oleh ibu bapa, maka lebih mudah untuk kita melahirkan sebuah negara Madani yang sihat dan segar,” katanya ketika berucap dalam Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Anwar berkata, pembangunan negara perlu diseimbangkan antara kemajuan material dan pembangunan insan bagi memastikan masyarakat memiliki kekuatan nilai, akhlak serta jati diri yang kukuh.

“Kita bukan sekadar mahu membina gedung pencakar langit, kilang dan infrastruktur. Kita juga mahu membangunkan insan yang mempunyai nilai, akhlak dan kesedaran.

“Gedung-gedung tinggi, teknologi moden, industri, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) mesti bermula dengan pembentukan diri, nilai, jiwa dan kesedaran terhadap akhirat,” katanya.

Katanya lagi, asas pendidikan paling penting tetap bermula di rumah apabila ibu bapa berperanan memperkenalkan nilai agama, tanggungjawab dan akhlak kepada anak-anak sejak usia muda.

“Sistem persekolahan boleh berjaya, tetapi asas pendidikan tetap bermula di rumah. Di rumah anak-anak mengenal ibu bapa, mengenal al-Quran, mengenal hadis, memahami tanggungjawab agama dan mempelajari solat,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN