USNO keluar GRS bukan keputusan sebulat suara – Ibrahim

USNO keluar GRS bukan keputusan sebulat suara – Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan Tan Sri Pandikar Amin Mulia membawa Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) keluar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa dibuat secara terburu-buru tanpa mengambil kira pandangan majoriti pimpinan parti.

Timbalan Presiden I USNO, Datuk Ibrahim Linggam berkata, dakwaan bahawa keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) adalah tidak tepat.

Menurut beliau, daripada 37 ahli AMET, hanya 18 orang hadir dalam mesyuarat yang diadakan pada 22 April lalu, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kesahihan keputusan tersebut.

“Ahli AMET yang tidak hadir rata-rata tidak menyokong keputusan membawa USNO keluar daripada GRS,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, ramai pimpinan USNO di peringkat pusat dan bahagian masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keputusan Pandikar meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi GRS kuota USNO adalah bersifat peribadi dan dihormati, namun ia tidak mencerminkan pendirian keseluruhan parti.

“Kita tetap berpendirian menyokong GRS dan tidak bersetuju jika USNO keluar daripada gabungan,” katanya.

Ibrahim turut mendakwa wujud unsur paksaan dalam mendapatkan persetujuan ahli, termasuk dakwaan bahawa Presiden parti mungkin meletakkan jawatan sekiranya keputusan itu dibantah, selain tekanan terhadap ahli yang tidak hadir untuk menandatangani sokongan atau berdepan tindakan pemecatan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, prinsip demokrasi dalam parti perlu ditegakkan dengan memberi ruang kepada semua pimpinan menyuarakan pandangan.

“Presiden berhak membuat keputusan, tetapi pandangan pimpinan lain juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, tiada sebarang pertikaian besar antara USNO dan GRS ketika ini, malah hubungan di peringkat pusat dan akar umbi masih baik serta sebarang perbezaan pendapat boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Beliau turut berharap hubungan antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuh demi memastikan fokus terhadap pembangunan negeri Sabah tidak terjejas.

Sebelum ini, media melaporkan Pandikar selaku Presiden USNO mengesahkan partinya meninggalkan GRS semasa pertemuan dengan Hajiji.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN