Tuntutan 40 peratus: Pendirian saya kekal - Ewon

Tuntutan 40 peratus: Pendirian saya kekal – Ewon

pmks
EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick kekal dengan pendirian tidak bersetuju tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang memihak kepada negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata keputusan terbabit disifatkan telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi.

Katanya, rayuan pertama dikemukakan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi, manakala rayuan kedua pula adalah bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut, yang akhirnya dibenarkan Mahkamah Rayuan.

“Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dalam kenyataan menegaskan pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tindakan rayuan tersebut, namun tetap menghormati proses mahkamah.

Ewon berkata pendiriannya dan UPKO tetap sama iaitu isu yang berlarutan hampir 40 tahun, dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya.

Katanya, sekiranya isu berkenaan tidak dimuktamadkan dan tiada pembayaran dibuat selepas pembubaran Dewan Rakyat, rakyat berhak menentukan kepimpinan negara.

“Jika sampai masanya 40 peratus itu belum dibayar, rakyatlah yang akan membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan lost years adalah isu berasingan daripada pelaksanaan pembayaran masa hadapan.

Katanya, bagi tempoh akan datang seperti tahun 2027 dan seterusnya, kerajaan Persekutuan sepatutnya mampu merancang mekanisme supaya 40 peratus hasil Sabah dikekalkan di negeri itu.

“Perkara ini sebenarnya tidak sukar untuk dimuktamadkan. Hal berkaitan Perlembagaan perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan,” katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah memahami hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan dan ia perlu dibezakan daripada peruntukan pembangunan tahunan yang merupakan dasar semasa.

Ewon meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2025 kerana berpegang kepada prinsipnya, sepertimana dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN