Tidak sangka dinobat johan qari dalam penampilan sulung

Tidak sangka dinobat johan qari dalam penampilan sulung

CIK Hasnul Taqiyiddin Cik Sazali (kanan) dan Nur Syakura Mohamad Musa masing-masing diumum johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Peserta dari Perak, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali tidak menyangka dinobatkan sebagai juara dalam penampilan sulung di pentas Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berusia 25 tahun itu, mengakui terkejut apabila diumumkan sebagai johan memandangkan saingan yang dite­rima daripada wakil-wakil negeri lain sangat sengit.

“Semua peserta hebat dengan bacaan yang sangat baik. Saya benar-benar tidak menjangka menang kerana ini adalah kali pertama saya menyertai tilawah peringkat kebangsaan.

“Saya akan terus melakukan yang terbaik sebagai persediaan menghadapi pertandingan di peringkat antarabangsa nanti,” katanya selepas penyampa­i­an hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, malam kelmarin.

Penyampaian hadiah di­sem­purnakan pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin.

Cik Hasnul Taqiyuddin yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, dia membuat persiapan sejak tahun lalu selepas menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Ne­geri Perak sebelum meneruskannya secara konsisten menjelang pertandingan kebangsaan.

“Alhamdulillah, saya bersyu­kur atas kemenangan ini dan akan terus mendalami ilmu al-Quran.

“Terima kasih kepada kedua ibu bapa yang banyak membim­bing saya dalam asas taranum,” katanya.

Sementara itu, johan qariah, Nur Syakura Mohamad Musa, 31, yang mewakili Sarawak menyifatkan pengalaman enam kali beraksi di pentas kebangsaan banyak membantunya membuat persediaan lebih rapi.

Menurutnya, usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai johan pada penyertaan kali keenam.

“Pengalaman sebelum ini ba­nyak membantu saya memperbaiki kelemahan dan membuat persediaan lebih baik. Saya mula membuat persiapan sejak enam bulan lalu.

“Alhamdulillah, percubaan ka­li ini membuahkan hasil dan saya sangat bersyukur,” katanya.

Anak jati Kuching, Sarawak yang juga penyelia guru al-Quran di Majlis Agama Islam Sarawak itu berkata, keluarga menjadi pendorong utama kejayaannya.

Katanya, dia mula mempelajari taranum al-Quran daripada bapanya, Mohd. Musa Mat, 67, sejak berusia sembilan tahun manakala arwah ibunya, Ruhijah Senal banyak membimbing dalam bacaan al-Quran.

Nur Syakura yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik sebelum ini pernah berada dalam kelompok tiga terbaik serta tempat keempat, namun tidak pernah meraih kejuaraan.

Kedua-dua johan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM20,000, pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, piala pusingan, cenderamata dan sijil penyertaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×