Pelajar MRSM cemerlang walau pun aktif bermain muzik

Tetap cemerlang akademik walau pun aktif bermain muzik

PENGERUSI Mara, Asyraf Wajdi Dusuki (empat dari kiri) bersama kumpulan MRSM Felda yang dinobatkan sebagai johan Anugerah Seni Muzik Tradisional pada Festival Keusahawanan dan Seni Muzik Tradisional MRSM 2026 yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Institusi pendidikan bukan semestinya memberi penekanan kepada pencapaian prestasi akademik semata-mata tetapi turut memberi ruangan perkembangan bakat pelajar dalam pelbagai bidang berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing.

Ada pelbagai aktiviti luar bilik darjah yang boleh disertai pelajar bagi menyalurkan minat dan kecenderungan mereka selain memberi fokus bidang akademik semata-mata.

Institusi pendidikan seperti kolej komuniti, politeknik dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak sewajarnya dianggap institusi akademik semata-mata memandangkan ramai pelajar yang muda dan berbakat menyambung pengajian di sini.

Bakat mereka tidak dibiarkan terpendam, sebaliknya diasah sesuai dengan minat dan bakat yang boleh disalurkan.

MRSM sebagai contoh memberi ruang kepada pelajarnya mengasah bakat dalam bidang muzik dan yang menariknya pembabitan tersebut tidak pun menjejaskan prestasi akademik mereka.

Mereka malah membuktikan pembabitan dalam muzik memberi kesempatan untuk belajar mengurus masa bagi membolehkan tumpuan terhadap pelajaran atau akademik tidak terjejas.

Dua pelajar MRSM menyatakan demikian ketika ditemui baru-baru semasa penganjuran Festival Keusahawanan dan Seni Muzik Tradisional MRSM 2026. Festival itu menjadi pentas buat pelajar MRSM menunjukkan bakat mereka sebagai usahawan muda selain mengetengahkan seni muzik tradisional yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya negara.

Penglibatan pelajar menunjukkan mereka bukan sahaja berbakat dan memberi komitmen dalam bidang muzik tetapi mencerminkan kejayaan MRSM memberi pendidikan kepada pelajar

Penglibatan pelajar seperti Sarah Batrisyia Rahimi dan Izz Daanish Amzar dalam bidang seni muzik membuktikan aktiviti kokurikulum tidak menjejaskan pencapaian akademik, malah membantu mereka mengekalkan prestasi cemerlang.

Pelajar MRSM Langkawi, Sarah Batrisyia Rahimi, 17, berkata, cabaran terbesar adalah membahagikan masa antara akademik dan seni.

Menurutnya, sebagai pelajar aliran sains tulen yang mengambil sembilan subjek termasuk Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan, jadual harian yang padat serta rutin di asrama memerlukan disiplin tinggi untuk diuruskan dengan baik.

 

 

“Cabaran terbesar adalah bagaimana untuk memastikan semua perkara berjalan seiring tanpa mengganggu antara satu sama lain,” katanya.

Namun, Sarah Batrisyia membuktikan penglibatan dalam seni tidak menjejaskan akademik apabila berjaya memperoleh Anugerah Penghargaan Pengetua (APP) hampir setiap semester serta mengekalkan PNG melebihi 3.5 sejak tingkatan satu.

Katanya, penglibatan dalam muzik turut membantu meningkatkan fokus dan daya ingatan, khususnya ketika bermain ukulele yang memerlukan hafalan kod lagu.

“Saya juga belajar menghayati muzik dengan lebih mendalam, termasuk lagu-lagu lama yang menjadi kegemaran keluarga,” katanya.

Dia percaya kejayaan dalam akademik dan seni boleh dicapai serentak kerana kedua-duanya memerlukan disiplin dan komitmen tinggi.

Seorang lagi pelajar, Izz Daanish Amzar, 17, berkata, pengalaman mara ke peringkat akhir memberi kepuasan selepas melalui latihan intensif.

Izz Daanish berkata, aktiviti muzik membantu meningkatkan kemahiran bekerjasama serta keyakinan diri dalam persembahan berkumpulan.

“Semua ahli perlu memainkan peranan kerana persembahan hanya akan berjaya jika semua seiring,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Sarah Batrisyia, Noridah Udin Niah Bahari berkata, penglibatan anaknya dalam seni sejak kecil tidak menjejaskan pencapaian akademik, malah memberi kesan positif.

Katanya, minat anak sulungnya itu terhadap muzik bermula sejak sekolah rendah apabila dia didedahkan dengan pembelajaran ukulele sebagai alternatif kepada penggunaan gajet.

Menurutnya, walaupun anaknya memasuki MRSM Langkawi dua bulan lewat dan perlu mengejar silibus, dia berjaya menyesuaikan diri serta menunjukkan peningkatan prestasi akademik sehingga memperoleh APP.

“Selepas melihat pencapaiannya, saya yakin kedua-duanya boleh bergerak seiring,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana minat yang mendalam dalam sesuatu bidang akan mendorong anak-anak untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Katanya, ramai tokoh seni tanah air yang mempunyai latar belakang akademik cemerlang, sekali gus membuktikan kedua-dua bidang tersebut boleh dicapai serentak.

Sementara itu seorang guru penasihat kumpulan, Nurul Farhana Md Subi berkata, penubuhan kumpulan muzik sejak 2022 bertujuan mencungkil bakat pelajar serta memberi keseimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum.

 

 

Menurutnya, kebanyakan pelajar yang terlibat dalam kumpulan tersebut berjaya mengekalkan PNGK melebihi 3.5 hasil pengurusan masa yang baik antara akademik dan aktiviti seni.

“Pada Mac lalu, kami telah dijemput oleh OISCA MARA mengadakan persembahan di depan Timbalan Perdana Menteri serta delegasi Jepun,” katanya kepada Utusan Pelajar.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN