Tentera Malaysia di Lubnan henti sementara operasi

Tentera Malaysia di Lubnan henti sementara operasi

Tentera Malaysia di Lubnan menghentikan sementara pergerakan operasinya di negara bergolak itu ekoran insiden serangan yang berlaku. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Malaysia yang bertugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan diarah menghentikan pergerakan operasi buat sementara waktu ekoran konflik semakin buruk di negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan anggota susulan dua insiden melibatkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) termasuk yang meragut nyawa dua anggota tentera Indonesia.

“Malaysia menegaskan sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

“Anggota MALBATT 850-13 telah diarahkan untuk tidak me­laksanakan sebarang pergerakan operasi sebagai langkah berjaga-jaga selaras arahan Markas UNIFIL,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Terdahulu, media melaporkan, dua anggota pengaman UNIFIL terbunuh dalam satu letupan di selatan Lubnan, menjadikan insiden kedua dalam tempoh 24 jam ketika konflik antara Israel dan Hizbullah semakin memuncak.

UNIFIL memaklumkan ke­dua-dua mangsa merupakan anggota dari Indonesia yang maut selepas kenderaan mereka musnah akibat letupan yang puncanya masih belum dikenal pasti, manakala dua lagi anggota cedera termasuk seorang dalam keadaan serius.

Mohamed Khaled berkata, tahap keselamatan terus diper­tingkat kepada semua kontinjen di kawasan misi berdasarkan si­tuasi semasa di Selatan Lubnan.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan pematuhan berterusan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pengukuhan pelaksanaan Peraturan Penglibatan (ROE).

“Ia termasuk pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota MALBATT 850-13 sentiasa terpelihara,” katanya.

Tambahnya, semua anggota MALBATT850-13 pada masa ini disahkan berada dalam keadaan yang selamat.

“Keselamatan anggota MALBATT kekal menjadi keutamaan utama kerajaan.

“Segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN