Dalam era ketidaktentuan global, universiti tidak lagi boleh berfungsi sekadar sebagai pusat penyampaian ilmu. Sebaliknya, universiti perlu tampil sebagai peneraju pembangunan negara.
Dalam konteks ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh memperkenalkan Pelan Strategik TEKAD 57 sebagai satu kerangka transformatif yang berpotensi membentuk hala tuju Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
TEKAD 57 bukan sekadar pelan bagi tempoh 2026 hingga 2030, tetapi merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang UKM untuk mempersiapkan negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi yang berteraskan teknologi, inovasi dan identiti nasional yang kukuh.
Pelan ini menjadi asas kepada rangkaian pelan strategik lima tahun yang berterusan sehingga menjelang 2057.
Apa yang membezakan TEKAD 57 ialah sifatnya sebagai “payung besar” yang mengikat setiap aktiviti, program dan agenda UKM di bawah satu matlamat utama membangun negara berasaskan ilmu, nilai dan impak.
Pendekatan ini memastikan tiada inisiatif yang bergerak secara terpisah, sebaliknya semua usaha diselaraskan untuk menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh.
Pendekatan ini juga menjadikan TEKAD 57 sebagai pegangan jangka panjang UKM sehingga tahun 2057.
Ia memastikan kesinambungan strategi merentasi generasi kepimpinan serta membina ekosistem pembangunan yang konsisten dan berimpak tinggi.
Dalam erti kata lain, TEKAD 57 bertindak sebagai kompas institusi yang memandu setiap keputusan dan tindakan UKM.
Lebih signifikan, TEKAD 57 berperanan sebagai pemacu pembangunan yang boleh diangkat ke peringkat kebangsaan. UKM mensasarkan untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan negara dan serantau melalui penyelidikan, inovasi dan pembangunan dasar.
Ini termasuk usaha menangani cabaran global seperti ketidaktentuan ekonomi, dominasi teknologi, keselamatan makanan dan perubahan demografi.
Seiring itu, TEKAD 57 memberi penekanan kepada pembangunan teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi kuantum, keselamatan data dan ekonomi digital serta hijau.
Pendekatan ini penting bagi memastikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi peneraju dalam pembangunan teknologi hadapan.
Pelan ini turut digerakkan melalui lima fokus strategik utama dan tujuh indikator prestasi utama yang merangkumi kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, kelestarian kewangan dan alam sekitar, pengurusan bakat serta pengukuhan reputasi dan integriti institusi.
Pendekatan berasaskan pengukuran ini memastikan setiap usaha UKM dapat dinilai dari segi impak sebenar kepada masyarakat dan negara.
Yang lebih penting, TEKAD 57 memberi penekanan kepada pembangunan insan sebagai teras kemajuan negara. Generasi TEKAD 57 iaitu pelajar hari ini akan menjadi pemimpin masa hadapan yang beretika, inovatif dan berdaya tahan dalam membentuk Malaysia yang mampan dan berdaya saing.
Selain itu, TEKAD 57 membuka ruang kepada UKM untuk berfungsi sebagai sekretariat peneraju yang menyelaras kepakaran akademia, industri dan kerajaan.
Peranan ini penting dalam mempercepatkan penterjemahan ilmu kepada dasar dan tindakan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Kesimpulannya, TEKAD 57 bukan sekadar pelan strategik universiti, tetapi satu visi besar yang boleh diangkat sebagai agenda Malaysia.
Dengan kepimpinan yang jelas serta pendekatan berasaskan ilmu, inovasi dan nilai, TEKAD 57 berpotensi menjadi kompas nasional yang memacu pembangunan negara secara berterusan menuju tahun 2057. – UTUSAN










