Pemuda sumbang 1,000 komputer riba

Pemuda sumbang 1,000 komputer riba kepada golongan memerlukan

IVAN Khong bersama sebahagian daripada komputer riba yang akan diperiksa secara rapi di pejabat di Cheras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pempengaruh, Ivan Khong, 30, tidak pernah mengeluh dengan setiap sumbangan diberikan kepada masyarakat.

Walaupun usahanya menuntut pengorbanan besar terutama dari segi kewangan dan tenaga, Ivan berasa gembira apabila dapat merealisasikan impian pelajar kurang berkemampuan untuk memiliki komputer riba.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ivan yang juga pengusaha pusat komputer berkata, usaha tersebut dibuat selepas melihat potensi golongan pelajar kurang bernasib baik yang mampu mengubah kehidupan dan mencapai kejayaan dengan adanya sokongan masyarakat sekeliling.

Malah, dia yang mula memberikan sumbangan sejak 2024 berbuat demikian dengan harapan agar lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban golongan tersebut.

“Saya juga berasal daripada keluarga susah dan tidak mahu keadaan itu menjadi penghalang kepada mereka untuk belajar serta menguasai teknologi maklumat.

“Paling penting, saya berharap setiap sumbangan yang diberikan dapat menjadi peluang kedua untuk mereka bangkit semula. Dengan adanya komputer riba yang berkualiti dan berteknologi tinggi, mereka berpeluang menguasai bidang ini pada masa hadapan,” katanya.

Sehingga kini, beliau telah menyumbangkan lebih 1,000 komputer riba kepada pelajar dan sekolah yang memerlukan, dengan purata sekitar 100 unit setiap bulan.

Dalam pada itu, beliau yang turut dikenali sebagai ‘Boss A’ berkata, setiap permohonan akan melalui proses penilaian dan temu duga bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Ada juga pihak yang cuba mengambil kesempatan. Oleh itu, kami akan membuat semakan dan penelitian terhadap latar belakang pemohon sebelum sumbangan diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN