KUALA TERENGGANU: Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan pembangunan antara daerah termasuk Kemaman yang berkembang pesat berbanding kawasan lain.
Titah baginda, keadaan itu sekali gus menyumbang kepada jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.
Baginda bertitah, keadaan itu perlu ditangani dengan segera bagi mengelak kesan sosioekonomi yang lebih serius serta memastikan pembangunan lebih seimbang di seluruh negeri.
“Pembangunan yang tidak seimbang antara daerah seperti Kemaman yang mempunyai kelebihan sektor industri berkembang lebih pesat berbanding daerah-daerah yang lain.
“Jurang pendapatan isi rumah antara kawasan bandar dan luar bandar berlaku disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang terbatas bagi menjana pendapatan. Perkara ini perlu ditangani dengan baik supaya tidak menimbulkan kesan sosioekonomi yang serius,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini,
Turut berangkat Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Sri Muhammad Mua’az Sultan Mizan Zainal Abidin. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Nor Hamzah.
Tengku Muhammad Ismail turut menekankan potensi Ekonomi Biru sebagai teras baharu pembangunan negeri melalui pengukuhan sektor perikanan, pemuliharaan ekosistem marin serta pembangunan pelancongan laut dan akuakultur.
Sementara itu, baginda bertitah, selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, kerajaan negeri perlu beralih daripada pengeksport bahan mentah kepada pembangunan industri hiliran bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum.
“Transformasi ini penting untuk mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana pendapatan yang lebih stabil,” titah baginda.
Sementara itu, Pemangku Raja Terengganu mahu aspek integriti hendaklah kekal sebagai tunjang utama dalam pentadbiran supaya kepercayaan awam terus kukuh.
“Ia bukan sekadar prinsip moral tetapi menjadi asas kepada kepercayaan rakyat, keberkesanan pentadbiran dan imej kerajaan secara keseluruhan.
“Inilah nilai yang perlu terus disemai demi melahirkan perkhidmatan awam yang berwibawa, berdaya saing dan dihormati. Penerapan nilai-nilai etika bukan sekadar di atas kertas, malah perlu diterapkan melalui budaya kerja yang telus di setiap peringkat organisasi,” titah baginda. – UTUSAN










