TELUK INTAN: Pengusaha bot penambang di Sungai Perak terpaksa menaikkan tambang daripada RM1 kepada RM1.50, susulan kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada kos operasi harian perkhidmatan penumpang.
Pengusaha, Muhamad Syafiq berkata, kenaikan sebanyak 50 sen itu bagi perkhidmatan membawa penumpang dari Sungai Jejawi, Sungai Kerang dan Seberang Perak.
Katanya, dia berasa serba salah untuk menaikkan kadar tambang kerana orang ramai di kawasan terlibat memerlukan perkhidmatan itu setiap hari.
“Setiap hari saya berulang alik menyeberang Sungai Perak membawa penumpang dari Jeti Pokok Asam ke Jeti Kampung Cina,” katanya.
Muhamad berkata, operasi bot penambangnya masih bermula dari pukul 6 pagi hingga 7 petang, meskipun dihimpit kenaikan harga diesel.
Katanya, dia tidak menerima subsidi diesel seperti pengusaha pengangkutan awam lain dan berharap permohonan subsidi yang dibuat tiga bulan lalu diluluskan segera.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan bantuan subsidi diesel bagi memastikan perkhidmatan bot penambang terus beroperasi dengan kos lebih stabil dan tidak membebankan pengguna harian di kawasan Sungai Perak pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, penumpang yang ingin dikenali sebagai Kadir berkata, kenaikan tambang tidak membebankan kerana dianggap masih berpatutan, malah wajar selepas tujuh tahun tidak berubah.
Katanya, orang ramai akan tetap menggunakan perkhidmatan itu kerana ia satu-satunya pengangkutan utama di kawasan ini. – UTUSAN










