Syed Abu Hussin akui ditawar sertai UMNO

Rumah Bangsa tidak boleh bersifat eksklusif

SYED ABU HUSSIN HAFIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gagasan ‘Rumah Bangsa’ tidak boleh bersifat eksklusif untuk mana-mana
parti, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan kepimpinan Melayu termasuk kerajaan
sekarang.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal berkata, hanya
dengan cara itu ia betul-betul akan dapat menguatkan penyatuan Melayu.

“Kalau betul hendak kuatkan Melayu, kena buat konvensyen atau kongres Melayu untuk
kumpulkan semua pandangan. Barulah idea ini tidak gagal seperti usaha sebelum ini.

“Dalam semua pencapaian ini ia perlu dilampirkan dengan kuasa. Yang berkuasa sekarang
adalah Kerajaan Perpaduan jadi kerajaan hari ini perlu berada dalam rumah bangsa tersebut,” katanya.

Katanya, realiti politik menunjukkan bahawa kekuatan Melayu hanya boleh dipertahankan
melalui penguasaan kuasa, bukan sekadar retorik di luar kerajaan.

Mengulas kedudukan kaum lain, beliau megingatkan agar tidak berlaku percubaan mencabar
dominasi politik Melayu sehingga mencetuskan ketidakseimbangan dalam negara.

“Kita tidak menolak kaum lain tetapi Melayu mesti diperkukuhkan dahulu. Kemudian
barulah kerjasama dengan semua bangsa.

“Orang Cina tidak perlu takut, tetapi mereka juga mesti menghormati orang Melayu sebagai
bangsa. Saya juga hendak beritahu, jangan kacau kuasa orang Melayu. Kerajaan Melayu
jangan diganggu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan garis
sempadan yang jelas berkaitan sensitiviti kaum dan perkara tersebut tidak wajar dipersoalkan.

Dalam pada itu Syed Abu Hussin turut mengakui telah didekati wakil UMNO baru-baru
ini yang menawarkan peluang untuk kembali menyertai parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu hanya akan dibuat sekiranya isu di
peringkat akar umbi dapat diselesaikan terlebih dahulu.

Katanya, beliau sentiasa terbuka terhadap gagasan penyatuan Melayu, namun terdapat
beberapa perkara yang perlu diperincikan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Saya tidak mahu kemasukan saya nanti menimbulkan masalah lebih besar kerana di
peringkat bahagian sudah ada struktur kepimpinan sedia ada yang telah bekerja untuk parti.

“Persoalannya, apakah kedudukan saya dan peranan yang perlu dimainkan sekiranya
kembali menyertai parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN