Syarikat beli minyak pada harga pam diambil tindakan

Syarikat beli minyak pada harga pam diambil tindakan

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat korporat dan industri yang didapati membeli minyak pada harga pam secara tidak sah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, syarikat terbabit sepatutnya mendapatkan bekalan terus daripada syarikat minyak pada harga pasaran sekitar RM7 hingga RM8 seliter, bukannya menggunakan diesel di stesen minyak yang ketika ini berharga RM6.72 seliter dan masih menerima subsidi kerajaan.

“Kerajaan memberi amaran kepada syarikat-syarikat ini supaya menghentikan aktiviti ‘channel switching’ atau berdepan tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memantau aktiviti berkenaan bagi memastikan kestabilan bekalan dalam negara, selain mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan serta penyelewengan bahan api.

Amir Hamzah dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tampil menyalurkan maklumat berhubung salah laku, termasuk penggunaan RON95 oleh warga asing serta aktiviti mencurigakan di stesen minyak dan kawasan sempadan.

“Semangat kebersamaan ini penting dalam menghadapi krisis. Dalam keadaan global yang tidak menentu, kekuatan kita terletak pada kesepakatan dan perpaduan masyarakat,” katanya.

Mengulas kedudukan ekonomi negara, beliau berkata Malaysia memasuki tahun 2026 dengan momentum pertumbuhan yang kukuh, disokong permintaan domestik yang stabil, prestasi eksport yang baik, inflasi terkawal serta kadar pengangguran rendah.

Katanya, asas ekonomi yang teguh itu membolehkan negara kekal berdaya tahan dalam mendepani krisis tenaga global.

“Dasar seperti penyasaran subsidi telah mewujudkan ruang fiskal untuk menyerap kejutan ekonomi.

“Keadaan ini turut meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN