KUALA LUMPUR: Menjelang usia lima dekad, pelakon, Datuk Aaron Aziz, mengakui tidak lagi selesa melakonkan adegan mendukung atau bersentuhan secara langsung dengan mana-mana aktres.
Menurut Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 50, dia kini lebih berhati-hati dan cuba mengelakkan sentuhan kulit dalam setiap babak lakonan.
“Kalau boleh, saya sudah tidak mahu melakonkan adegan dukung dan bersentuhan.
“Kalau ada sentuhan pun, biarlah berlapik, berbaju dan tidak kena kulit. Saya pun sudah masuk usia 50-an. Kita kena lebih berjaga-jaga,” katanya.
Aaron ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri iQIYI 2026 di Andaman Grand Hall, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Aaron menafikan dakwaan kononnya beliau tidak lagi berminat berlakon drama, sebaliknya hanya mahu lebih selektif dalam memilih watak.
“Bukan saya tidak mahu berlakon drama, cuma saya tidak mahu lagi membawa watak klise seperti dahulu.
“Contohnya, kisah jatuh cinta dengan gadis kampung atau pembantu rumah. Jalan cerita begitu sudah terlalu kerap dan membosankan.
“Namun, jika ada watak yang menarik, kita tidak boleh terlalu memilih. Rezeki tetap perlu dihargai. Malah, ketika ini saya sedang menjalani penggambaran sebuah drama sebanyak 50 episod,” ujarnya.
Mengulas kemunculan ramai bakat baharu dalam industri hiburan tempatan, Aaron menyifatkan perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang positif.
“Sekarang ini, pelakon baharu tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ini perkembangan yang baik untuk industri.
“Kehadiran mereka mampu meningkatkan standard drama dan filem tempatan.
“Tambahan pula dengan kewujudan pelbagai platform penstriman, lebih ramai pengarah, penerbit dan kru produksi dapat mengetengahkan bakat serta kebolehan masing-masing,” katanya.
Terdahulu, timbul spekulasi mendakwa Aaron tidak lagi mahu berlakon drama dan hanya memberi fokus kepada filem, namun beliau menegaskan dakwaan tersebut tidak benar. -UTUSAN










