KLANG: Ibu bapa tidak perlu bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka yang kini menuntut di universiti di Asia Barat kerana Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menyediakan pelan pemindahan sekiranya keadaan memerlukan susulan konflik di rantau berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan pelan tersebut bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa serta penyelarasan rapat dengan Kementerian Luar bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.
“Jika terdapat perkembangan yang boleh mengancam keselamatan, kita akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut nasihat Wisma Putra,” katanya selepas menghadiri perasmian penutup Persidangan Pendidikan Antarabangsa Mara, di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini dianggarkan terdapat kira-kira 400 pelajar tajaan Mara khususnya di Jordan dan Mesir masih meneruskan pengajian seperti biasa tanpa sebarang gangguan serius.
Asyraf Wajdi turut memberi jaminan keselamatan pelajar menjadi keutamaan utama dan sentiasa dipantau secara berterusan termasuk melalui pegawai Mara di negara terlibat.-UTUSAN










