KUALA KRAI : Sepasang suami isteri melecur selepas kedai menjual kelengkapan sembahyang masyarakat Cina milik mereka di Taman Central Park di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, Tan Teow Woi, 39, melecur di bahagian badan sementara isterinya, Ooi Ying See, 32, melecur di badan dan kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, setiba anggotanya di lokasi, premis berkenaan didapati sudah musnah 100 peratus.
“Selain premis, kebakaran melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal yang berada di hadapan kedai.,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ahmad Afsham berkata, api dapat dikawal pada pukul 9.25 malam sebelum ditamatkan pada pukul 11.59 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN











