PETALING JAYA: Dua lagi syarikat penilaian saham digeledah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini susulan penahanan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat berkait skandal urus niaga saham.
Satu sumber berkata, siasatan terkini SPRM mendapati penyelewengan ini telah dirancang dengan sistematik dan dipercayai berlaku juga transaksi keluar masuk wang ke akaun di luar negara.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal selain berpotensi menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat dengan beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat lagi bagi urusan penjualan saham kepada badan pelaburan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber, seramai 10 orang saksi telah dirakam percakapan dan dijangka tujuh orang saksi lagi akan dipanggil dan dirakam percakapan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memberitahu fokus siasatan kini menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain kesalahan pecah amanah jenayah.
“Penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain yang berkaitan khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,”jelasnya.
Semalam, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam kerana disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.
Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 hingga 2023.
Susulan itu, penggeledahan turut dilakukan di 13 lokasi utama oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM merangkumi agensi dan syarikat berkepentingan awam, premis pejabat dan kediaman individu-individu yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.
Selain itu, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang berkaitan telah dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta. – UTUSAN










