PETALING JAYA: Semua kakitangan yang bertugas di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah akan ditempatkan di bangunan baharu di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, proses pembinaan bangunan baharu itu hampir siap dengan kemajuan mencapai 90 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya hujung tahun ini.
Menurut beliau, bangunan tersebut akan menempatkan semua kakitangan SPRM yang ketika ini beroperasi di tiga pejabat berasingan.
“Ini bermakna kita perlu mempunyai bangunan sendiri kerana ia merupakan satu platform yang kukuh untuk kita bertindak dan melaksanakan tugas.
“Sekali gus memperkukuhkan identiti SPRM sebagai sebuah institusi yang benar-benar bebas dan berkecuali,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Sabah di Bangunan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Kota Kinabalu, semalam.
Hadir sama Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.
Katanya, meletakkan agensi itu dibawah satu bangunan akan meningkatkan komunikasi antara pegawai, kawalan dan urusan-urusan teknikal. – UTUSAN










