KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai hidup mewah dengan menjalankan aktiviti pengubahan wang haram melalui perniagaan penukaran wang (money changer) dengan menahan 19 individu pada 16 April lalu.
Mereka terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan tujuh wanita termasuk dua warga China berusia antara 24 hingga 48 tahun, menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan berjumlah RM4.9 juta hasil daripada aktiviti penjualan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah apartmen di Taman Wahyu di sini dan membawa kepada penahanan dua suspek.
Katanya, hasil serbuan itu, pelbagai jenis dadah iaitu pil ekstasi seberat 0.89 kilogram (kg), ketamin (0.69 kg), Erimin 5 (0.46 kg) dan serbuk MDMA (6.5 kg), selain peralatan memproses dadah dirampas.
“Susulan itu, beberapa lagi serbuan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Kepong yang membawa kepada penahanan suspek lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hussein berkata, satu lagi serbuan dijalankan di sebuah apartmen di Kepong membabitkan rampasan 31kg ketamin dan erimin 5 (3.8 kg).
“Kita (polis) percaya sindiket itu aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan apartmen sebagai lokasi menyimpan dan memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran Lembah Klang.
“Siasatan mendapati suspek ke-12 bertindak sebagai ketua sindiket manakala suspek ke-10 sebagai pembantunya. Beberapa suspek lain berperanan sebagai penjaga stor dan ‘runner’,” katanya.
Hussein berkata, secara keseluruhan, dadah yang dirampas adalah ketamin seberat 31.8kg; Erimin 5 (4.2kg), pil ekstasi (0.89kg) dan MDMA (6.5kg) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.1 juta.
“Turut dirampas 18 buah kenderaan mewah termasuk Rolls Royce Cullinan Black Badge, Mercedez Benz GLC300 dengan keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM14.15 juta.
“Dadah yang dirampas dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 151,000 pengguna,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah dan semakan rekod mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
“Empat suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 April manakala tujuh lagi diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Lapan suspek lain dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN










