Shafiq Halim saman Azam Baki, 19 lagi

Shafiq Halim saman Azam Baki, 19 lagi

SHAFIQ HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Shafiq Abdul Halim memfailkan saman terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan siasatan.

Menurut dokumen pernyataan tuntutan difailkan pada 21 Februari lalu, Mohamad Shafiq selaku plaintif turut menamakan 19 lagi defendan terdiri daripada pegawai-pegawai SPRM, agensi itu sendiri dan Kerajaan Malaysia.

Katanya, saman itu difailkan atas beberapa dakwaan, antaranya SPRM berkonspirasi untuk mencederakannya tanpa sebab munasabah sehingga mengakibatkan pelanggaran hak asasinya di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Mohamad Shafiq mendakwa penangkapan dan penahanannya juga adalah tidak sah dari segi undang-undang dan mendakwa pegawai SPRM telah melakukan misfeasans (salah laku) dalam jawatan awam.

Menurut beliau, tindakan tersebut didakwa berlaku antara 22 Februari 2023 hingga 9 Mei 2023, susulan siasatan berkaitan satu video TikTok yang didakwa telah dimanipulasi sehingga memberi gambaran seolah-olah beliau membuat tuduhan terhadap SPRM.

Mohamad Shafiq berkata, beliau telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM tanpa diserahkan sebarang notis rasmi di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM sebelum ditahan selama kira-kira lapan jam di aras bawah tanah premis berkenaan.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu beliau tidak dibenarkan meninggalkan kawasan tersebut selain dinafikan hak untuk mendapatkan khidmat peguam.

“Defendan-defendan dan pihak lain yang berkaitan telah berkonspirasi, sama ada secara bersama atau berasingan, dengan niat utama untuk mencederakan saya.

“Tindakan menindas tanpa asas itu dilakukan dengan niat jahat sehingga menyebabkan kecederaan kepada plaintif,” katanya dalam pernyataan tersebut.

Selain itu, beliau turut mendakwa berdepan tekanan termasuk gangguan lisan dan ugutan sepanjang sesi soal siasat.

Beliau berkata, kenyataan Azam yang menyatakan beliau telah ditangkap adalah tidak benar, memandangkan menurutnya tiada penahanan rasmi dilakukan mengikut prosedur undang-undang.

Katanya, beliau kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 48 Akta SPRM kerana gagal hadir memberi keterangan, walaupun kehadiran tersebut didakwa telah dijadualkan semula.

Sehubungan itu, Mohamad Shafiq menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk yang akan ditaksir oleh mahkamah, selain faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

“Plaintif turut memohon apa-apa perintah lanjut atau relif lain yang difikirkan sesuai, adil dan wajar oleh mahkamah berdasarkan keadaan kes tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN