RANTAU PANJANG: Penyelewengan pemegang lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) antara enam modus operandi sindiket bagi menyeleweng dan menyeludup keluar barangan bersubsidi negara termasuk petrol dan diesel ke negara jiran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia dikesan hasil risikan serta operasi berterusan kementerian itu dalam mengekang ketirisan subsidi yang semakin membimbangkan.
Kata beliau, taktik lain yang dikesan adalah, penglibatan pihak ketiga, aktiviti bunkering, penyorokan bekalan, pemalsuan dokumen dan manipulasi mekanisme pengagihan subsidi nelayan.
“Penyelewengan pemegang lesen CSA dikesan berlaku di peringkat depoh dan stesen minyak. Selain itu, terdapat pihak ketiga yang tidak mempunyai lesen membeli bekalan secara berulang kali sebelum menyimpannya melebihi had ditetapkan, khususnya diesel bersubsidi untuk nelayan.
“Aktiviti bunkering pula melibatkan campuran pelbagai produk petroleum termasuk bahan bersubsidi sebelum dijual semula bagi meraih keuntungan lebih tinggi,” katanya selepas meninjau kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pasir Ajib, Tok Deh, di sini hari ini.
Armizan berkata, sindiket turut menggunakan taktik pemalsuan dokumen dengan memanipulasi jumlah pembelian selain menyembunyikan bekalan dalam kuantiti besar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, mekanisme pengagihan subsidi nelayan turut dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan secara haram.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian mempergiat operasi besar-besaran melalui pelaksanaan Op Tiris 4.0 bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan petroleum yang semakin berisiko susulan konflik global, khususnya di Asia Barat.
Katanya, operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA) serta agensi berkaitan lain.
Ujarnya, langkah tersebut diperkukuh menerusi penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Op Tiris 4.0 dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan tiga kluster utama iaitu di daratan, kawasan sempadan dan perairan bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta penyelewengan bahan petroleum.
“Mesyuarat susulan jawatankuasa itu dijadualkan pada 6 April ini sebelum pengumuman lanjut dibuat berhubung perkembangan operasi berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN










