PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 40, mengakui dirinya tidak terkecuali daripada fitrah seorang wanita yang mendambakan perhatian serta kasih sayang.
Namun, beliau reda sekiranya jodoh belum menyebelahi dirinya buat masa ini, sebaliknya memilih mendekatkan diri kepada Ilahi dengan meluahkan emosi di atas sejadah.
“Kadang-kadang kita juga mahu dimanja dan disayangi. Sekarang, apa yang saya lakukan ialah solat. Selepas itu, saya ‘bercakap’ dengan Allah.
“Ada masanya rasa seperti bercakap seorang diri. Saya bertanya, ‘Ya Allah, kenapa jadi begini? Saya tidak mahu jadi begini’,” katanya menerusi program audiosiar Studio Sembang bersama Amelia Henderson.
Tambahnya, amalan tersebut sering dilakukan setiap kali beliau memerlukan petunjuk dalam membuat keputusan.
“Kadang-kadang perkara tidak dijangka berlaku. Jadi, saya memohon agar diberikan petunjuk tentang apa yang perlu saya lakukan,” ujarnya.
Menurutnya, pengalaman lalu menjadikan dirinya lebih berhati-hati untuk berkongsi masalah dengan orang sekeliling, selain perasaan takut yang mendorongnya memendam emosi sendiri.
“Saya kini takut untuk bercerita. Untuk meluahkan perasaan pun jadi ragu-ragu kerana pernah beberapa kali ‘ditikam dari belakang’. Pada masa sama, saya tidak mahu membebankan orang lain yang juga mempunyai kehidupan masing-masing.
“Jadi, cara saya mencari ketenangan adalah dengan kembali kepada sejadah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berpesan kepada dirinya yang lalu agar sentiasa menjaga maruah dan diri sebaiknya.
“Jika boleh kembali kepada diri dahulu, saya mahu berpesan supaya sentiasa menjaga maruah dan diri.
“Selepas solat, saya akan memeluk diri sendiri dan berkata, ‘Sarah, awak sudah buat yang terbaik’. Siapa lagi mahu peluk saya? Saya perlu memeluk diri sendiri,” katanya.
Terdahulu, Puteri Sarah Liyana dan pengarah, Syamsul Yusof, sah bercerai dengan talak satu pada 14 Jun 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami demi kebajikan dua cahaya mata mereka, Syaikhul Islam dan Sumayyah. — UTUSAN










