KUALA LUMPUR: Kumpulan Sapura (Sapura) mahu memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju teknologi pertahanan, keselamatan dan komunikasi strategik dengan dengan mempamerkan keupayaan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, Sapura membawa teknologi baharunya dalam lapangan keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) berdaulat dan rangkaian komunikasi selamat di DSA 2026 yang bermula hari ini.
Katanya, Sapura komited menyokong pembinaan sebuah negara Malaysia yang selamat, terjamin dan berdaulat melalui pembangunan teknologi yang melindungi kepentingan nasional.
“Sejajar komitmen ini, Sapura terus melabur dalam pembangunan teknologi tempatan yang mampu memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani ancaman keselamatan yang semakin kompleks, termasuk ancaman digital, peperangan siber dan tantangan keselamatan rentas dimensi.
“Ancaman digital yang kita harungi hari ini berkembang hampir setiap minggu. Melalui Velum Labs, Sapura memiliki keupayaan untuk mengenal pasti, menjejak dan memetakan ancaman ini ke dalam teknologi dan penyelesaian kami,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Shahril berkata, Sapura sudah melabur dalam pembangunan AI seiring dengan ekosistem pertahanan dan komunikasi strategik yang lebih luas.
Katanya, tindakan itu diambil kerana menyedari bahawa AI dapat mengubah secara tuntas landskap operasi siber.
“Velum Labs yang merupakan cabang keselamatan siber dan risikan Sapura, terus berada di barisan hadapan dalam memperluas keupayaan siber Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Mengambil kira peningkatan ancaman yang berpunca daripada teknologi AI baharu dan termaju, Velum Labs menerajui pembangunan keupayaan AI berejen berdaulat AI yang direka untuk diintegrasikan dalam operasi siber nasional sedia ada,” katanya.
Katanya, Velum Labs mempersembahkan program terbaharu V-ATTACK secara langsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menunjukkan nilai integrasi AI berdaulat dalam operasi siber aktif serta pertahanan siber.
“Sapura Secured Technologies turut mempamerkan Government Integrated Radio Network (GIRN2.0) terbaharu, sebuah sistem berasaskan 5G dan dipacu AI yang direka untuk memenuhi keperluan Malaysia terhadap komunikasi berpusatkan rangkaian serta data yang selamat dan berdaulat.
“GIRN 2.0 membolehkan Kerajaan mengurus bencana nasional dan operasi Perlindungan Awam dan Pengurusan Bencana (PPDR) secara berkesan melalui penyatuan semua agensi tindak balas dalam satu sistem selamat yang menyediakan kesedaran situasi masa nyata dari lapangan hingga ke pusat arahan di peringkat Persekutuan.
“Ini sekali gus membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan antara agensi diperkukuh, dan perlindungan nyawa rakyat dipertingkatkan ketika krisis,” katanya.
Penyertaan Sapura dalam DSA 2026 mencerminkan komitmen berterusan kumpulan untuk membangunkan teknologi strategik tempatan yang memenuhi keperluan keselamatan negara.
Ia turut memperkukuh kedudukan Malaysia selaku pemain serantau teknologi pertahanan, keselamatan siber dan komunikasi kritikal berdaulat. – UTUSAN










