Saat nilai tahap sebenar Shah selepas setahun bergelut

Saat nilai tahap sebenar Shah selepas setahun bergelut

Muhammad Shah Firdaus Sahrom kembali selepas bergelut dengan kecederaan lutut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aksi keirin hari ini menjadi pentas ujian sebenar buat pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kembali ke gelanggang antarabangsa selepas lebih setahun bergelut dengan kecederaan lutut.

Tanpa meletakkan sasaran tinggi, penampilan dalam pusingan kedua Piala Dunia Trek di Hong Kong kali ini lebih menjurus kepada misi menilai tahap sebenar kemampuan pelumba berusia 30 tahun itu.

Pengarah teknikal berbasikal trek negara, John Beasley berkata saingan tersebut hanyalah platform penilaian awal dalam proses panjang Shah untuk kembali ke prestasi terbaik.

“Ini adalah perlumbaan pertama beliau dalam tempoh 13 bulan, jadi tahapnya masih belum berada pada tahap sebenar untuk bersaing di peringkat ini.

“Saingan di Hong Kong menghimpunkan juara dunia dan Olimpik, jadi fokus kami adalah untuk melihat kedudukan semasa Shah Firdaus dan sejauh mana jurang dengan pelumba elit,” katanya.

Beasley turut mendedahkan cabaran sebenar yang masih membelenggu Shah Firdaus apabila pelumba itu kehilangan hampir separuh kekuatan pada kaki kanan selepas menjalani pembedahan lutut.

“Beliau kehilangan sekitar 50 peratus kekuatan pada kaki kanan dan kini sedang membina semula kekuatan itu secara berperingkat.

“Beliau baru memulakan latihan sebelah kaki di gimnasium selepas sebelum ini hanya menjalani latihan menggunakan kedua-dua belah kaki,” jelasnya.

Selain Shah Firdaus, adiknya Muhammad Ridwan turut disenaraikan dalam acara keirin dan pecut individu, manakala skuad wanita dibarisi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta Nurul Alyssa Farid.

Untuk rekod, kali terakhir pelumba kelahiran Muar, Johor itu beraksi di pentas antarabangsa adalah ketika meraih emas acara keirin pada Piala Negara-Negara Trek di Konya, Turkiye pada Februari tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN