SAABM platform martabat bahasa Melayu ke pentas dunia

SAABM platform martabat bahasa Melayu ke pentas dunia

ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan buku Bahasa dan Peradaban Membina Manusia selepas Majlis Pelancaran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di Menara Aras Raya, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) yang bakal berlangsung pada Oktober ini menjadi platform penting dalam mengangkat bahasa dan peradaban Melayu ke pentas antarabangsa.

Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran simposium itu bukan sahaja bertujuan memperluas wacana ilmiah, malah memperkukuh kesatuan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau yang juga Penaung Kehormat Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM) berkata, penggunaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa perlu diberi keutamaan kerana ia mencerminkan identiti nasional.

“Setiap kali saya menghadiri perjumpaan dengan pemimpin negara luar, jika mereka menggunakan bahasa mereka, saya akan terus menggunakan Bahasa Melayu.

“Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah mengumumkan bahawa urusan rasmi jabatan dan kementerian perlu menggunakan Bahasa Melayu.

“Jika kita sendiri tidak mengutamakan bahasa ini, ia seolah-olah dipinggirkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di Menara Aras Raya, di sini hari ini.

Pada majlis sama, buku Bahasa dan Peradaban Membina Manusia yang menghimpunkan kertas pembentangan, artikel dan pandangan SAABM dari 2024 hingga 2025 turut dilancarkan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM), Kamarazaman Yacob berkata, simposium bertemakan Peradaban Melayu Mewajah Dunia itu bakal menghimpunkan sarjana tempatan dan antarabangsa bagi memperluas wacana berkaitan bahasa, budaya dan ketamadunan Melayu.

“Simposium ini bukan sahaja menjadi medan pembentangan kertas kerja dan perbincangan ilmiah, malah platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu.

“Tahun ini, tema yang dibawa jauh lebih luas dan mencabar kerana melibatkan peradaban Melayu secara menyeluruh, bukan sekadar aspek bahasa semata-mata seperti sebelum ini,” katanya.

Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu bakal diadakan di Hotel Seri Pacific pada 10 Oktober ini dengan anjuran bersama Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman dan Kursi Pengajian Melayu dan Ketamadunan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Thai Global Business Administration Technological College (TGBC).

Simposium selama satu hari itu turut diserikan dengan Malam Puisi Mengukir Bangsa, selaras dengan objektif PABMM untuk memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN