Rindu tidak bertepi, Aliff Aziz ubati hati lihat anak di media sosial - Utusan Malaysia

Rindu tidak bertepi, Aliff Aziz ubati hati lihat anak di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aliff Aziz, mengakui hatinya tidak pernah lekang daripada merindui dua anaknya, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang sudah hampir dua tahun tidak berjumpa.

Menurut Aliff atau Mohamad Aliff Aziz, 35, urusan melibatkan anak-anak merupakan perkara sensitif dan dia kini sedang berusaha mencari jalan terbaik mencari penyelesaian demi kebaikan semua pihak.

“Saya sedang menguruskan perkara ini sebaik mungkin, insya-Allah.

“Apa-apa berkaitan anak-anak adalah isu sensitif. Saya tidak mahu usaha yang sedang dilakukan menjadi keruh hanya kerana saya memberi respons mengikut emosi,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka iQIYI Raya yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, di sini, hari ini.

Walaupun menanggung kerinduan, penyanyi lagu Sayang Sayang itu memilih untuk tidak menitipkan sebarang pesanan terbuka kepada anak-anaknya, sebaliknya mahu menyampaikan sendiri apabila berpeluang bertemu.

“Itu saya simpan. Insya-Allah apabila bertemu nanti, saya mahu bercakap sendiri dengan Ayden dan Ara.

“Biarlah ia menjadi mesej peribadi seorang bapa. Saya faham semua orang ada hak untuk bertanya, tetapi saya harap diberi ruang,” ujarnya.

Tambah Aliff, sepanjang tempoh berjauhan, dia hanya mengikuti perkembangan anak-anak menerusi media sosial dan bersyukur melihat mereka membesar dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, saya lihat mereka berada dalam persekitaran yang baik.

“Saya tidak pernah lupa mendoakan mereka. Sebagai bapa, saya gembira melihat mereka bahagia banyak aktiviti.

“Ara juga sudah semakin besar dan pandai menari. Saya akan terus berusaha memperbaiki diri serta menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang menyamakan wajah anaknya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, Aliff memilih untuk berlapang dada dan tidak melayan spekulasi tersebut.

“Setiap yang diperkatakan adalah pendapat. Semua orang berhak bersuara.

“Saya tidak boleh mengawal apa yang orang kata, tetapi saya boleh mengawal reaksi sendiri dan memilih untuk tidak memikirkannya.

“Lebih baik kita sebarkan perkara positif, apatah lagi dalam bulan yang baik ini,” katanya.

Terdahulu, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, pada 9 September 2016 sebelum berpisah pada 13 Jun 2024.

Pasangan itu juga pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN