KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan peningkatan mendadak kes pokok tumbang di seluruh negara susulan ribut dan angin kencang yang kerap berlaku kebelakangan ini akibat peralihan monsun.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, trend peningkatan tersebut amat ketara sehingga terdapat kawasan tertentu mencatatkan sehingga 20 kes pokok tumbang sehari.
“Ketika ini cuaca panas, kemudian boleh berlaku ribut pada petang, jadi ada dua yang kami pantau iaitu cuaca panas dan angin kencang ketika ini.
“Kita tidak ada hari tanpa hujan yang panjang sebelum ini sampai 100 hari. Jadi untuk kebakaran besar lebih pada dua hektar, ia menunjukkan penurunan drastik hampir sifar ketika ini.
“Trend kebakaran terbuka juga menurun dengan drastik. Kalau minggu lepas sebanyak 240 kes sehari, kini turun kepada 119 ke 120 kes sehari,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Pusat Pembelajaran Kebakaran Komuniti (CFLC) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas di sini, hari ini.
Menurut Nor Hisham, JBPM juga telah menandakan beberapa lokasi yang mencatatkan kes pokok tumbang tertinggi mengambil kira ramalan cuaca susulan peralihan angin monsun.
“Bila peralihan monsun, kita jangka kekerapan berlaku ribut petir dan ribut setempat, angin akan kuat tapi setempat dan risiko utama yang kita jangka ialah pokok tumbang.
“Jadi, penumpuan kepada balai ialah selain kebakaran terbuka juga pokok tumbang,” katanya. – UTUSAN










