Penjawat awam direman disyaki terlibat rasuah pembekalan ICT

Penjawat awam direman disyaki terlibat rasuah pembekalan ICT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki terlibat dalam kes rasuah membabitkan kira-kira RM7,000 daripada sebuah syarikat pembekal sistem teknologi maklumat (ICT).

Tindakan itu dipercayai dibuat sebagai ganjaran untuk meluluskan pembekalan alat ganti serta peralatan ICT kepada Cawangan Teknologi Maklumat di premis beliau bertugas.

Perintah reman sehingga 10 April 2026 dikeluarkan hari ini oleh Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam, berikutan permohonan daripada SPRM.

Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 3 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2024.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi miliknya sebagai balasan mengesahkan pembekalan alat ganti serta perkakasan ICT kepada cawangan tempat dia bertugas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN