KUALA NERUS: Qari dari Perak, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H selepas memperoleh markah 92.34 manakala bagi kategori Qariah, wakil dari Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa muncul juara dengan markah tertinggi 92.50.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan kedua-dua membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM 20,000, wang tunai mengerjakan haji bernilai RM10,000, piala pusingan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Tempat kedua dimenangi Qari dari Johor, Muhammad Saleem Noor Muhamad dengan markah 92.16, manakala tempat ketiga milik wakil Terengganu, Abdul Hadi Che Halim yang meraih 91.82 markah.
Bagi kategori qariah, tempat kedua dimenangi qariah Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar dengan 91.34 markah, diikuti wakil Terengganu, Nor Jannah Abd. Rahman di tempat ketiga dengan 90.99 markah.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini.
Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Sri Muhammad Mua’az serta Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra’. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, bagi kategori hafazan, bagi juzuk 1 hingga 10, kategori lelaki dimenangi Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Selangor manakala kategori wanita dimenangi Siti Sofiyyah Mohd Zainuri dari Kelantan.
Bagi hafazan juzuk 1 hingga 20, kategori lelaki dimenangi Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang, manakala kategori wanita dimenangi Nur Izzati Norazmi dari Selangor.
Bagi hafazan juzuk 1 hingga 30 pula, kategori lelaki dimenangi Muhammad Izzzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan, manakala kategori wanita dimenangi Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan edisi ke-68 itu menghimpunkan seramai 108 peserta dari seluruh negara, melibatkan 28 peserta tilawah terdiri daripada 14 qari dan 14 qariah serta 80 peserta hafazan. – UTUSAN











