Pulau Pinang: Hubungan PH-BN kekal stabil, tiada perubahan

Pulau Pinang: Hubungan PH-BN kekal stabil, tiada perubahan

CHOW Kon Yeow (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz ketika melakukan gimik perasmian Penang Autoshow 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hubungan antara parti-parti politik yang membentuk gabungan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang kekal status quo setakat ini dengan kerjasama sedia ada berjalan lancar.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun terdapat perkembangan politik di peringkat nasional termasuk ketegangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), namun, keadaan di peringkat Pulau Pinang masih terkawal.

Katanya, Pulau Pinang masih berada dalam keadaan stabil dengan semua pihak dalam kerajaan negeri bekerjasama dengan baik setakat ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan politik semasa sentiasa berubah dan semua pihak perlu peka terhadap perkembangan tersebut.

“Pulau Pinang kekal dalam keadaan status quo ketika ini. Namun, kita sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran. Jadi, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan kerana setakat ini, kerjasama ini berjalan dengan baik.

“Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang juga akan berlangsung seperti dijadualkan iaitu pada 8 Mei ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penang Autoshow 2026 di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata demikian ketika ditanya mengenai situasi politik semasa di Pulau Pinang susulan ketegangan politik di peringkat nasional khususnya di Negeri Sembilan yang membabitkan hubungan antara UMNO dan PH.

Pulau Pinang, hanya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dan BN yang dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan negeri iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri.

Kon Yeow berkata, dalam landskap politik semasa, setiap parti perlu menilai hubungan dengan rakan gabungan masing-masing namun kerjasama tersebut tidak semestinya seragam di semua negeri.

“Dalam senario politik Malaysia, setiap negeri mungkin mempunyai penjajaran politik tersendiri berdasarkan kesesuaian dan keperluan tempatan.

“Apa yang penting ialah membentuk gabungan stabil dan mempunyai agenda pembangunan dan hala tuju yang seiring demi kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN