KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan sama ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 atau sebaliknya.
Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, keputusan untuk bertanding bukan terletak pada dirinya, sebaliknya bergantung sepenuhnya pada kepimpinan parti.
“Ini bukan soal saya mahu bertanding atau tidak. Keputusan itu ditentukan oleh Presiden UMNO. Jika beliau memberikan watikah, barulah saya akan menandatangani.
“Jika tiada watikah, maka saya tidak akan bertanding,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di Menara Aras Raya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai konsep Rumah Bangsa, Ahli Parlimen Bera itu berkata, usaha tersebut penting dalam memperkukuh penyatuan kaum Melayu.
Jelasnya, pendekatan itu juga bertujuan membuka ruang seluas-luasnya kepada orang Melayu untuk kembali bersama parti berkenaan.
“Konsep rumah bangsa ini bermaksud kita membuka UMNO kepada semua orang Melayu.
“Saya menyokong usaha Presiden untuk memperluaskan keanggotaan parti tanpa mengira latar belakang.
“Sama ada mereka yang pernah dipecat, kita terima kembali atau mereka daripada parti lain, termasuk yang tidak berparti untuk menyertai kita, kita alu-alukan,” katanya. – UTUSAN








