Prosedur campuran kargo minyak perlu diperjelas - Utusan Malaysia

Prosedur campuran kargo minyak perlu diperjelas

SEBUAH kapal tangki minyak sedang berlabuh dan memunggah minyak mentah di pelabuhan di Qingdao, wilayah Shandong, timur China, pada 7 April lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prosedur berkaitan pencampuran kargo minyak perlu diperjelaskan terutama ketika proses pemindahan melibatkan aspek dokumentasi, pengelasan dan layanan kastam.

Perkara itu digesa seorang pemain industri dimana Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, R Jeyenderan berkata, isu itu timbul terutama di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, apabila kargo minyak mentah daripada beberapa kapal dicampur dalam tangki simpanan di darat selepas dipindahkan.

Katanya, berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri, pencampuran kargo boleh mengubah ciri fizikal minyak berkenaan, sekali gus memerlukan pelarasan pada dokumen sokongan.

“Jika dokumen tidak dikemas kini mengikut perubahan itu, ia boleh menyebabkan kesilapan dalam pengelasan dan penilaian, yang akhirnya mengakibatkan kutipan duti dan cukai sama ada terlebih atau terkurang.

“Dalam keadaan identiti asal kargo tidak lagi dapat dipastikan, kebergantungan kepada dokumen awal seperti Sijil Asal (Certificate of Origin) dan Sijil Kualiti (Certificate of Quality) boleh menyebabkan nilai, pengelasan atau layanan cukai dilaporkan secara tidak tepat,” katanya dalam kenyataan.

Jeyenderan berkata, prosedur lebih jelas penting bagi memastikan keadaan fizikal kargo selaras maklumat diisytiharkan, di samping memudahkan proses audit, kebolehkesanan dan pematuhan peraturan.

Katanya, kejelasan itu juga dapat membantu menangani isu penilaian dan dokumentasi dalam perdagangan petroleum serta meningkatkan kepastian dari sudut kawal selia kepada pemain industri.

Beliau turut merujuk beberapa kes antarabangsa, termasuk kejatuhan syarikat berpangkalan di Singapura, Hin Leong Trading dan cabang perkapalannya Ocean Tankers (Pte) Ltd, yang menonjolkan kepentingan menyelaraskan stok fizikal minyak dengan rekod dokumen dalam operasi dagangan, penyimpanan dan perkapalan.

Katanya, kes itu memberi pengajaran lebih luas mengenai keperluan pengesahan inventori, integriti dokumentasi dan kebolehkesanan dalam rantaian bekalan petroleum.

“Sehubungan itu, kami memohon penjelasan segera daripada pihak berkuasa mengenai layanan terhadap kargo yang diisytiharkan di bawah K8, iaitu status pengisytiharan kastam bagi kargo petroleum sebelum pelepasan penuh atau penyelesaian cukai, selepas dipindahkan ke tangki darat,” katanya.

Katanya, panduan lebih jelas berhubung perkara itu akan membantu proses pematuhan serta meningkatkan keyakinan terhadap operasi pemindahan petroleum.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini terhadap beberapa individu termasuk pengarah syarikat, ditahan kerana disyaki membuat pengisytiharan palsu berkaitan barangan import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pelabuhan Klang.

Pihak berkuasa berkata, operasi itu melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki mengisytiharkan jumlah serta jenis barangan lebih rendah bagi mengelak atau mengurangkan duti import, dengan anggaran kerugian hasil kastam sekitar RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN