KUALA LUMPUR: Kehadiran pelakon antarabangsa kelahiran Sarawak, Henry Golding ke Parlimen Malaysia mencuri perhatian ramai apabila beliau dilihat mengadakan kunjungan rasmi bagi sesi perbincangan bersama pihak berkaitan, hari ini.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram rasmi Parlimen Malaysia, Henry yang juga merupakan anak Iban kelahiran Betong, Sarawak hadir dan bertemu dengan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed.
Menurut kenyataan tersebut, Nur Jazlan menerima kunjungan pelakon yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa itu bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pembangunan komuniti.
“YB Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara hari ini telah menerima kedatangan pelakon dan ikon antarabangsa yang juga merupakan anak Iban kelahiran Betong, Sarawak, Encik Henry Golding,” menurut kenyataan itu.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk cadangan pelaksanaan program pembangunan komuniti di kawasan luar bandar Sarawak, khususnya dalam usaha memperkasakan masyarakat setempat.
Selain itu, dalam usaha menyuntik elemen merakyatkan institusi Parlimen, Henry turut dibawa melawat ke dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi melihat sendiri perjalanan institusi legislatif negara.
“Beberapa perkara telah dibincangkan dalam perjumpaan ini, antaranya cadangan untuk diadakan program pembangunan komuniti di kawasan luar bandar di Sarawak.
“Dalam usaha menyuntik elemen merakyatkan Parlimen, En. Henry Golding juga telah dibawa melawat ke dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat,” katanya.
Kunjungan tersebut nyata mengundang perhatian warganet yang rata-rata teruja melihat ikon antarabangsa dari Sarawak itu hadir ke Parlimen Malaysia.









