PETALING JAYA: Seorang anggota tentera yang dibelasah seorang anggota berpangkat koperal di kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Pahang pada Isnin lalu kini bergantung alat bantuan pernafasan.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, siasatan awal mendapati seorang Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) telah bertindak menggunakan kekerasan terhadap tujuh anggota kem berkenaan.
“Suspek dipercayai menampar dan menumbuk kesemua mangsa di bahagian muka serta perut. Akibat kejadian itu, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi tidak sedarkan diri sebelum diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD.
“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan kini mendapat rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, enam lagi anggota dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Hospital Bentong selepas keterangan mereka diambil.
Manakala, anggota PTTR yang disyaki terlibat telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Menurut TDM, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku dan tiada kompromi kepada mana-mana individu terlibat salah laku yang melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa salah seorang mangsa pada pagi, Selasa.
Menurutnya, suspek yang merupakan seorang anggota berpangkat koperal berusia 37 tahun telah ditahan pada pukul 2.30 petang hari yang sama bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap kerja pembersihan stor senjata yang dilakukan mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dan kini direman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN










