GERIK: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan bagi mengesan stesen minyak di sempadan negara yang mencatatkan jumlah jualan luar biasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu akan dimulakan dengan perkongsian data dan rekod jualan bahan api oleh kedua-dua kementerian berkenaan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh pihak polis.
Menurut beliau, stesen-stesen minyak yang dikenal pasti merekodkan penjualan petrol dan diesel luar biasa akan diberi keutamaan dalam pemantauan.
“Apabila KDN diminta untuk menguatkuasakan pemantauan bagi memastikan tiada aktiviti penyeludupan, maka pendekatan yang paling berkesan adalah berasaskan data dan rekod.
“Rekod jualan (bahan api) itu ada disimpan di dua kementerian tersebut di mana Kementerian Kewangan melibatkan pembayaran subsidi, manakala KPDN pula bertanggungjawab dalam aspek kawal selia lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara.
“Jadi, apabila data itu dikongsi bersama KDN, maka kita akan gerakkan pasukan polis terus ke stesen minyak berhampiran sempadan negara yang mempunyai rekod jualan yang tidak munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Pemantauan Operasi Kawalan Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh; Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.
Mengulas lanjut beliau berkata, krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat itu memberi kesan kepada negara kerana ia meningkatkan risiko penyeludupan bahan api berikutan perbezaan harga.
Sehubungan itu katanya, semua elemen penguatkuasaan termasuk polis telah diarahkan mempergiat pemantauan di stesen minyak berhampiran sempadan bagi mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan.
“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk menyusun gerak kerja bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan tugas hakiki pasukan itu.
“Dengan kekuatan kira-kira 120,000 anggota di seluruh negara, tugas hakiki polis seperti siasatan, risikan serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh dikorbankan, meskipun mereka turut dipertanggungjawabkan mengawasi stesen minyak dalam tempoh ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai aspek bidang kuasa, Saifuddin berkata, kes melibatkan barangan terkawal seperti bahan api terletak di bawah KPDN, manakala kes penyeludupan dan kecurian pula berada di bawah bidang kuasa KDN.
Beliau berkata, pelbagai undang-undang boleh digunakan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan termasuk kanun keseksaan, Akta Kastam dan peruntukan undang-undang lain.
“Tugas tambahan ini bukan perkara baharu, sebelum ini pun banyak tangkapan berkaitan kes penyeludupan dibuat.
“Kalau kita lihat laporan media, sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak polis berjaya membuat rampasan termasuk mengesan tangki yang diubah suai sebelum kes dirujuk ke agensi berkaitan.
“Kadang-kala sekatan oleh pasukan tentera pun berjaya mengesan aktiviti seperti itu. Ini menunjukkan agensi penguatkuasaan tidak bergerak secara berasingan, sebaliknya menentukan akta dan peruntukan paling sesuai bagi setiap kes,” katanya. – UTUSAN










