PETALING JAYA: Seramai 10 individu termasuk warga tempatan ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen dalam serbuan di sebuah kilang di Sungai Kapar, Selangor, minggu lalu.
Operasi kira-kira pukul 12 tengah hari, 14 April lalu itu dijalankan oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan rampasan mencecah RM3.05 juta.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PGA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, seramai 10 individu ditahan membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara lingkungan 20-an hingga 40-an.
Katanya, daripada jumlah itu, seorang adalah warganegara Malaysia manakala empat warga China dan lima warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sah di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sindiket ini didapati menjalankan aktiviti memproses, mengasing dan menyimpan e-waste tanpa kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Premis ini tidak menghasilkan produk akhir, sebaliknya bahan yang telah diasing akan dihantar ke lokasi lain untuk proses seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh warga tempatan.
Jelasnya, warga tempatan ditahan berperanan sebagai penyelia.
“Kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan semua suspek direman selama dua minggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan alam sekitar kerana aktiviti seperti ini boleh memberi kesan serius kepada kesihatan awam dan ekosistem,” tegasnya.
Pada 11 April lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, sebanyak RM582 juta nilai rampasan dan sitaan menerusi Op Hazard 3.0 membabitkan 110 serbuan di 11 negeri bagi membanteras kegiatan haram membabitkan sisa elektronik (e-waste). – UTUSAN










