PETALING JAYA: Kerajaan perlu menilai semula pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar bagi semua pekerja dalam sektor perkhidmatan yang kritikal.
Cadangan itu dibuat susulan gesaan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) mengenai pemberian kuota subsidi 300 liter kepada petugas kesihatan.
Setiausaha Agung Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, langkah itu wajar memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat serta keperluan mobiliti tinggi bagi pekerja barisan hadapan.
Beliau berkata, subsidi tidak seharusnya tertumpu hanya kepada pekerja sektor kesihatan sahaja, tetapi perlu merangkumi pekerja sektor pos dan logistik seperti Pos Malaysia, utiliti dan telekomunikasi seperti Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, ia juga termasuk pekerja penguatkuasaan dan keselamatan, yang tidak mempunyai pilihan bekerja dari rumah.
“Negara kini berdepan tekanan kos sara hidup yang dipacu krisis tenaga global. Pemotongan subsidi secara menyeluruh tidak wajar kerana banyak sektor pekerjaan masih bergantung kepada mobiliti harian bagi melaksanakan tugas.
“UNI-MLC mencadangkan kerajaan mempertimbangkan semula subsidi bersasar kepada semua pekerja dalam sektor perkhidmatan perlu termasuk kesihatan, pos dan logistik, keselamatan dan penguatkuasaan, pengangkutan serta sektor kritikal lain.
“Menetapkan kerangka dasar yang jelas dan inklusif bagi mengenal pasti kategori pekerja yang layak berdasarkan keperluan operasi dan tahap kebergantungan penggunaan kenderaan.
“Selain itu, memastikan pelaksanaan subsidi telus dan adil serta tidak membebankan majikan atau pekerja dari segi proses tuntutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Effendy berkata, pendekatan itu akan memastikan subsidi benar-benar sampai kepada pekerja yang memerlukan, berasaskan keperluan operasi sebenar serta mengelakkan ketirisan dan ketidakadilan dalam pelaksanaan dasar.
“Sokongan dasar sebegini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kos kepada pekerja, malah turut memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan ekonomi negara.
“UNI-MLC kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi merangka penyelesaian seimbang, praktikal dan menyeluruh demi kepentingan pekerja dan negara,” katanya.
Media semalam melaporkan, Presiden MAPSU, Ajulahin Japin menggesa kerajaan segera mengembalikan kuota subsidi kepada 300 liter bagi pekerja kesihatan memandangkan mereka tidak boleh bekerja dari rumah.
Katanya, majoriti pekerja kesihatan perlu berulang-alik dalam jarak yang jauh setiap hari, khususnya di Semenanjung Malaysia dan kawasan luar bandar Sabah serta Sarawak. – UTUSAN










