Perak usaha kenal pasti tanah untuk petani muda - Utusan Malaysia

Perak usaha kenal pasti tanah untuk petani muda

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) dan Mohd. Zolkafly Harun (dua dari kanan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak berusaha mengenal pasti kawasan tanah milik kerajaan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak projek pertanian moden khususnya melibatkan golongan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, usaha itu akan turut disokong dengan latihan, khidmat teknikal serta bantuan permulaan bagi meningkatkan kebolehan petani muda.

Katanya, antara cabaran utama belia untuk menceburi sektor pertanian adalah kekangan dari segi akses kepada tanah yang sesuai dan berskala ekonomik.

“Antara inisiatif yang sedang dipertimbangkan termasuklah penyediaan lot-lot pertanian berskala kecil hingga sederhana yang dilengkapi dengan kemudahan asas.

“Serta memberi keutamaan kepada golongan belia yang berminat dan berpotensi dalam bidang agroteknologi, fertigasi, pertanian pintar dan lain-lain pendekatan moden,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Salina Samsudin (BN-Behrang) mengenai usaha kerajaan negeri menyediakan tapak atau tanah bagi membantu belia memulakan projek pertanian moden dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Setahun lalu, golongan belia di Perak dianggap kurang menceburi sektor pertanian di mana lebih 76 peratus dikuasai oleh kelompok berusia 46 tahun ke atas.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, dari segi umur, 46.6 peratus daripada pegangan individu dimiliki oleh mereka yang berumur 60 tahun ke atas diikuti 30 peratus oleh golongan umur 46 hingga 59 tahun.

Kata Mohd. Zolkafly, kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah terbuka untuk mempertimbangkan cadangan pembangunan kawasan pertanian belia secara berkelompok sekiranya terdapat permohonan yang berdaya maju dan mempunyai sokongan teknikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN