IPOH: Perak akan memastikan situasi menang menang bagi menyelesaikan isu 47 kuil yang dibina tanpa kelulusan di negeri ini dalam tempoh setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, kebanyakan kuil itu dibina sejak zaman estet dengan ada diantaranya telah berusia berpuluh tahun.
“Apabila (estet) dibangunkan, kuil itu ditinggalkan kemudian diambil, diuruskan oleh pihak lain.
“Jadi di bawah perbandaran (pihak berkuasa tempatan – (PBT) sekarang, itu satu komplikasi,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Vaisakhi Peringkat Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh di Ipoh hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak, Mohd. Azlan Helmi.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan mengambil pendekatan meroboh atau membawa isu itu ke mahkamah.
“Kita akan bincang dengan semua pihak dan cari situasi menang-menang. Di Perak kita dah berjaya. Tiada masalah.
“Saya akan uruskan (selesaikan) dalam setahun akan datang,” katanya.
Berhubung 14 kuil di dalam gua di Perak, Sivanesan berkata, kesemua rumah ibadat itu telah diberikan kelulusan untuk beroperasi kerana telah menepati piawaian ditetapkan.
Jelasnya, tiada kebenaran baharu pembinaan kuil di dalam gua bagi memastikan keselamatan rakyat dan menjaga alam sekitar. – UTUSAN










