Pengguna kesal jadual komuter disusun semula

Pengguna kesal jadual komuter disusun semula

PENUMPANG sedang menunggu ketibaan komuter di Stesen Keretapi Pulau Sebang, Melaka. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Penstrukturan semula jadual perkhidmatan tren KTM Komuter laluan Pulau Sebang–Batu Caves–Pulau Sebang yang akan dilaksanakan bermula 18 April ini dikesali pengguna.

Seorang pengguna, Alia Maisarah Mahmud, 23, berkata, pengurangan kekerapan tren terutama pada waktu siang menyukarkan pergerakannya untuk pulang ke rumahnya di Jasin, Melaka.

Menurutnya, dia lebih selesa menggunakan tren pada waktu siang atas faktor keselamatan selain kedudukan stesen yang berhampiran dengan institusi pengajiannya.

“Saya berharap sekurang-kurangnya ada dua perjalanan dalam tempoh tersebut bagi memudahkan pengguna. Apabila tiada tren antara pukul 10 pagi hingga 4 petang memang sukar untuk merancang perjalanan.

“Saya juga lebih gemar menaiki tren pada waktu siang kerana tidak berani menggunakan perkhidmatan itu pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di Stesen Keretapi Pulau Sebang di sini semalam.

Sebelum ini, KTM Berhad dalam kenyataan memaklumkan penstrukturan jadual tersebut dilaksanakan bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di bawah Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) yang melibatkan laluan antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, tiada perkhidmatan KTM Komuter beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 4 petang bagi laluan Mid Valley–Pulau Sebang dan Pulau Sebang–Bandar Tasik Selatan.

“Selain itu, penutupan penuh landasan antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban dari pukul 10 malam hingga 6 pagi turut dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan dijalankan secara lebih intensif,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Nur Izzahtul Haziqa Sukur, 20, pula berkata, penstrukturan semula jadual perjalanan tren berkenaan turut memberi kesan kepada pengurusan masanya.

Katanya, dia menggunakan perkhidmatan komuter untuk pulang ke rumah keluarganya di Melaka.

“Jika saya pulang pada hari biasa, ia menyukarkan ibu untuk menghantar saya ke stesen kerana perlu menguruskan persekolahan adik-adik.

“Dalam keadaan jadual sedia ada pun, saya perlu keluar sekurang-kurangnya dua jam lebih awal untuk ke stesen. Jadi apabila berlaku penstrukturan, saya terpaksa tergesa-gesa untuk mengejar tren,” katanya.

Dia juga berharap pihak berkaitan dapat menambah kekerapan perjalanan tren bagi memudahkan pengguna.

“Saya berharap sekurang-kurangnya ada satu atau dua perjalanan antara pukul 10 pagi hingga 6 petang kerana tempoh tersebut terlalu lama tanpa perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN