Pengarah Hydroshoppe mohon bicara, kes rasuah pindah ke Mahkamah Tinggi

Pengarah Hydroshoppe mohon bicara, kes rasuah pindah ke Mahkamah Tinggi

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hydroshoppe Sdn. Bhd. dan pengarahnya, memohon perbicaraan kes menawarkan suapan berkaitan proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.

Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 52, dan Hydroshoppe selaku pemohon berkata, terdapat isu perundangan yang rumit serta kesulitan luar biasa (question of law of unusual difficulty) dijangka akan timbul, khususnya berkaitan keperlembagaan pertuduhan.

Menurutnya, Hakim Mahkamah Sesyen tidak dilengkapi serta tidak boleh membuat keputusan mengenai isu keperlembagaan yang akan dibangkitkan kelak.

“Pertuduhan terhadap saya melibatkan dua entiti berbeza iaitu satu pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM terhadap saya sebagai individu dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM terhadap sebuah syarikat, yang mana saya pengarah utama syarikat terbabit yang bertanggungjawab terhadap operasi serta perniagaan syarikat.

“Walaupun kedua-dua kes itu melibatkan entiti berbeza dan kesalahan berasingan, intipati kedua-dua pertuduhan adalah berasaskan dakwaan yang sama.

“Dalam keadaan ini, ia berpotensi melanggar hak saya terhadap perlindungan daripada pendedahan diri sendiri (right against self-incrimination) serta mendedahkan saya kepada risiko pertuduhan berganda (double jeopardy),” katanya berdasarkan afidavit sokongan permohonan itu.

Notis usul itu difailkan menerusi Tetuan Chetan Jethwany & Company di Mahkamah Tinggi, pada 1 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Selain itu, Abdul Hamid Shaikh berkata, sekiranya perbicaraan dapat dijalankan di Mahkamah Tinggi, maka kedua-dua pihak berpeluang merayu ke mahkamah lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan secara mutakhir terutama berhubung perkara melibatkan Perlembagaan serta isu undang-undang yang rumit.

“Apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi ia dapat diselesaikan dengan lebih efisien. Permohonan saya ini tidak akan menimbulkan sebarang prejudis kepada pihak pendakwaan, sebaliknya sekiranya permohonan ini dibenarkan, ia hanya akan memberi kemudahan serta faedah kepada semua pihak yang terlibat,” katanya dalam afidavit sokongan itu.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin bahawa Mahkamah Tinggi telah menetapkan pendengaran permohonan pemindahan kes tersebut pada 15 Mei ini.

“Memandangkan Mahkamah Tinggi telah menetapkan pendengaran permohonan itu pada 15 Mei dan kes telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 7 dan 8 Mei, jadi saya mohon tarikh perbicaraan tersebut dilapangkan sementara menunggu keputusan permohonan,” katanya.

Nurul Qistini turut dibantu oleh Elyza Amira Habeeb Rahman serta Pegawai Pendakwa, Muhammad Taufik Awaludin.

Tang Jia Yearn mewakili Abdul Hamid Shaikh dan Hydroshoppe mengesahkan perkara itu dan tiada bantahan daripada pihaknya.

Suzana kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melapangkan tarikh perbicaraan pada 7 dan 8 Mei, namun mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu pada 7 dan 8 Mei, 5 Jun, 20 hingga 22 Julai, 28 Ogos, manakala Oktober pada 5 hingga 7, 19 hingga 21 serta 1 hingga 4 Dis 2026.

Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun, bagi faedah Tan Sri Annuar Musa
menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022 mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Hydroshoppe turut berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, iaitu menawarkan suapan kepada Tan bagi faedah Annuar dengan niat yang sama di lokasi dan tarikh serupa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN