LENGGONG: Pengguna perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik menarik nafas lega apabila operasi disambung semula selepas beberapa hari terhenti, sekali gus memudahkan pergerakan harian penduduk setempat yang bergantung kepada pengangkutan awam.
Penduduk, S. Siva, 60, gembira apabila perkhidmatan bas henti-henti yang telah beroperasi lebih 50 tahun itu diteruskan semula.
“Usaha ini membuktikan rintihan masyarakat diambil perhatian. Ia memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan penduduk di kawasan kampung terpencil yang bergantung kepada pengangkutan awam tersebut,” katanya.
Pengguna, Anizah Mohamad, 62, bimbang penamatan operasi menyukarkan urusan perniagaan kecilnya di pekan Lenggong.
“Segelintir pengguna bergantung kepada perkhidmatan tersebut bagi menggunakan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), memandangkan banyak kedai terpilih terletak di pekan utama,” katanya.
Khidmat wujud sejak 1970-an itu sebelum ini diumumkan berakhir pada 31 Mac lalu menerusi kenyataan syarikat pengendali, namun menyambung semula perkhidmatan, semalam.
Isu penamatan perkhidmatan bas di beberapa laluan di Perak berjaya diselesaikan hasil campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Perkara itu dimuktamadkan selepas perbincangan antara syarikat pengendali dan Pejabat Menteri Besar Perak berhubung penamatan operasi yang menjejaskan penduduk setempat.
Perak Transit Berhad dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan bas henti-henti laluan 99A, 99B, 99C dan 99D kembali beroperasi semalam.
Keputusan itu mengambil kira permintaan Menteri Besar yang prihatin terhadap keperluan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam tersebut.
Bagaimanapun, operasi itu dijalankan secara sementara, sementara menunggu keputusan muktamad berhubung permohonan subsidi pengangkutan awam daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.
Sementara itu, perbincangan antara kedua-dua pihak turut mengambil kira kebimbangan terhadap kesan penamatan perkhidmatan kepada kehidupan harian rakyat, khususnya pelajar sekolah, warga emas dan penduduk luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada bas henti-henti sebagai pengangkutan utama mereka. – UTUSAN










