PETALING JAYA: Pemegang saham IJM Corporation Bhd. (IJM) menolak tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd. (Sunway) sekali gus menggagalkan tawaran mega yang berpotensi mengubah landskap industri pembinaan tempatan.
Antara faktor kegagalan tawaran tersebut adalah struktur tawaran yang lebih banyak bergantung kepada pertukaran saham berbanding bayaran tunai, sekali gus tidak memberi pulangan segera kepada pemegang saham IJM.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, faktor ketidaktentuan ekonomi global dan risiko geopolitik turut menjadikan cadangan penggabungan tersebut kurang meyakinkan.
Katanya, saiz entiti gabungan yang besar juga boleh memberi tekanan terhadap pengurusan dan prestasi kewangan jangka panjang.
“Pemegang saham lebih berhati-hati dalam keadaan pasaran tidak menentu, menyebabkan tawaran ini sukar mendapat sokongan. Keputusan itu sekali gus menutup peluang pembentukan salah satu gabungan besar dalam sektor pembinaan dan hartanah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, pengurusan tertinggi IJM sebelum ini turut menyatakan nilai intrinsik syarikat itu adalah lebih tinggi, khususnya apabila projek-projek sedia ada dijangka matang dalam tempoh tiga tahun akan datang dan berpotensi memberikan pulangan lumayan dalam jangka panjang.
“Keadaan itu menunjukkan pemegang saham IJM mempunyai keyakinan terhadap prospek syarikat dan melihat potensi pulangan lebih baik dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.
Kelmarin, pemegang saham IJM menolak tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh Sunway selepas tempoh penerimaan ditutup pukul 5 petang.
Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengesahkan tawaran tersebut luput berikutan kegagalan memenuhi syarat penerimaan minimum.
Sunway tidak menerima penerimaan sah mencukupi untuk membolehkannya menguasai lebih 50 peratus saham mengundi dalam IJM kerana hanya 33 peratus menerima tawaran tersebut.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Menerusi tawaran itu, harga ditetapkan pada RM3.15 bagi setiap saham, yang mewakili premium 14.55 peratus berbanding harga penutup terakhir RM2.75.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kegagalan pengambilalihan tersebut berpunca daripada gabungan beberapa faktor utama, termasuk isu penilaian harga, kekurangan sokongan pemegang saham dan persepsi terhadap nilai syarikat.
“Penasihat bebas dan lembaga pengarah IJM juga berpandangan tawaran itu tidak adil dan tidak munasabah, selain dilihat pada diskaun berbanding nilai intrinsik syarikat,” katanya.
Penolakan daripada pemegang saham utama turut menjejaskan usaha berkenaan.
“Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebagai antara pemegang saham utama, tidak menyokong tawaran tersebut, sekali gus menyukarkan Sunway mencapai ambang penerimaan ditetapkan.
“Struktur bayaran yang melibatkan kira-kira 90 peratus saham Sunway dan hanya 10 peratus tunai turut dilihat kurang menarik.
“Keadaan ini memerlukan pemegang saham IJM menukar pegangan kepada saham Sunway yang mempunyai profil risiko berbeza dan bergantung kepada keyakinan terhadap penilaian syarikat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, dengan tawaran tersebut kini selesai, IJM akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh iltizam.
IJM kekal sebagai syarikat kukuh dari segi asas dengan strategi yang jelas serta aliran projek yang berdaya tahan.
“Pemegang saham telah membuat keputusan dan kami menghargai keyakinan yang diberikan terhadap nilai intrinsik jangka panjang IJM,” ujarnya. – UTUSAN










