IPOH: Tindakan 34 pekebun durian mencuri air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sauk di Kuala Kangsar menyebabkan beribu-ribu penduduk di 13 kampung dalam Mukim Chegar Galah terputus bekalan air sejak sebulan lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Lembaga Air Perak (LAP) pada mulanya memaklumkan bekalan air tidak dapat disalurkan kepada penduduk kampung tersebut kerana sumber tadahan LRA Sauk yang sangat sedikit.
“Jadi, kita buat kajian mengapa air itu sedikit. Akhirnya, temui bahawa terdapat penanam-penanam durian yang telah pergi ambil air bersendirian (tanpa kebenaran secara haram).
“Ada 34 penanam durian yang telah menyedut air daripada takungan menjadikannya susut dan kesusutan itu tidak cukup untuk disedut oleh LRA LAP,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Majlis Gimik Pelancaran Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani Tahun 2026 bertempat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Saarani berkata, Lembaga Pengurusan Sumber Air (LPSA) telah mengambil langkah segera bagi memastikan penyelesaian isu bekalan air itu selesai selewat-lewatnya esok.
“Pertama sekali kita kena cabut keluar paip-paip air (pekebun durian) sebab ia menyalahi undang-undang. Dia telah mengambil air daripada sumber air di bawah bidang kuasa LPHA.
“Itu adalah kesalahan curi air. Kalaupun mereka perlu air untuk menyirami tanaman durian khususnya, dia boleh ambil air di bawah LRA macam orang lain ambillah, jangan ambil daripada sumber air,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya tindakan mencuri air itu dibiarkan begitu sahaja mungkin menyebabkan pekebun durian lain membuat tindakan serupa.
“Dengan 34 orang itu kalau kita biarkan, mungkin bertambah kepada 50 orang lagi (menyebabkan) kekurangan air untuk LRA.
“Saya percaya LPHA sudah pun mengambil tindakan itu. Insya-Allah kalau semua telah ditarik balik jadi air akan meningkat,” katanya.
Sementara itu, pada tahun ini, sebanyak 63,303 naskah buku rujukan tambahan SPM akan diedarkan kepada pelajar di seluruh negeri khususnya dalam kalangan calon berpotensi lulus yang memerlukan bimbingan tambahan.
Ia meningkat berbanding 53,000 naskah yang diedarkan pada tahun lalu dengan peruntukan kira-kira RM1 juta. – UTUSAN










