PEKAP terima sumbangan RM 100,000 untuk pendidikan - Utusan Malaysia

PEKAP terima sumbangan RM 100,000 untuk pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) terus memperkukuh peranannya sebagai platform kebajikan dengan menerima sumbangan berjumlah RM100,000 daripada Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri PEKAP 2026.

Yang Dipertua, Datuk Azman Shah Abdullah berkata, sumbangan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi Tabung Pendidikan PEKAP, khususnya bagi Anugerah Pelajar Cemerlang dalam kalangan anak-anak Pahang di Lembah Klang.

“Majlis ini bukan sekadar sambutan Hari Raya Aidilfitri, tetapi menjadi simbol kepada kekuatan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan anak-anak Pahang yang berada di perantauan.

“Sumbangan yang dikurniakan bukan sahaja meringankan beban, malah menjadi pemangkin kepada usaha kami memperkasa pendidikan anak-anak Pahang melalui Tabung Pendidikan PEKAP.

“InsyaAllah, bantuan ini akan dimanfaatkan sebaiknya bagi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada negeri dan negara,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur.

Katanya, PEKAP akan terus komited memperluas inisiatif kebajikan termasuk pelaksanaan insurans berkelompok serta perancangan penubuhan Yayasan Kebajikan Anak Pahang demi memastikan kebajikan ahli terus terpelihara.

“PEKAP turut menjunjung titah baginda untuk mewujudkan skim insurans berkelompok yang kini telah dilaksanakan dan memberi manfaat kepada sebahagian ahli.

“PEKAP sedang merancang penubuhan Yayasan Kebajikan Anak Pahang, tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri sebelum mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Keberangkatan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Penaung Diraja PEKAP mencemar duli ke majlis berkenaan, diiringi Wan Rosdy Wan Ismail selaku Penasihat PEKAP.

Paduka Baginda juga sebelum ini telah menyumbang RM183,000 bagi penganjuran sambutan Aidilfitri tahun lalu, selain menyerahkan sumbangan tambahan RM100,000 untuk majlis kali ini.

Dalam perkembangan lain, PEKAP merancang untuk menganjurkan sambutan Jubli Intan ke-60 tahun penubuhannya sebagai simbol pencapaian dan kesinambungan peranan persatuan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN