Orang Asli Pos Simpol bina sekatan halang aktiviti pembalakan

Orang Asli Pos Simpol bina sekatan halang aktiviti pembalakan

PENDUDUK Orang Asli membina sekatan di simpang Bereglag, Pos Simpor dekat Gua Musang, Kelantan bagi menghalang aktiviti pembalakan yang didakwa semakin meluas di kawasan berkenaan. - IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di Pos Simpor di sini, mendirikan sekatan di simpang Bereglag sebagai tindakan mempertahan tanah dan wilayah adat mereka daripada aktiviti pembalakan yang didakwa semakin meruncing.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Tanah Dan Wilayah Adat Pos Simpor, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, tindakan yang bermula kelmarin itu susulan kebimbangan penduduk terhadap kesan serius aktiviti pembalakan yang boleh menjejaskan kehidupan komuniti dan keseimbangan alam sekitar di kawasan tersebut.

Katanya, penduduk sebelum ini pernah mendirikan sekatan di lokasi sama, namun dirobohkan oleh Jabatan Perhutanan pada 12 Februari lalu kerana didakwa menghalang laluan kenderaan bagi tujuan operasi pembalakan.

“Kami membantah sebarang operasi pembalakan di dalam kawasan tanah adat Pos Simpor kerana berpotensi merosakkan ekosistem semula jadi, mengganggu habitat hidupan liar serta menjejaskan kawasan penting termasuk kampung lama dan tapak perkuburan nenek moyang.

“Sebuah syarikat didakwa masih meneruskan operasi dengan membina kongsi balak di kawasan Sungai Bereglag melibatkan keluasan kira-kira 99 hektar walaupun bantahan  dikemukakan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nur Mohd. Syafiq Dendi berkata, Jawatankuasa Badan Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Pos Simpor telah mengambil beberapa langkah termasuk membuat laporan polis. 

“Kami juga menjalankan pemantauan di kawasan kongsi balak dan mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat terlibat seperti Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

“Kami melihat pihak berkaitan masih berhasrat meneruskan aktiviti pembalakan walaupun penduduk telah berulang kali menyatakan pendirian menolak sebarang bentuk pencerobohan ke atas tanah adat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN