Maritim Malaysia bakal terima aset baharu lebih RM1.5 bilion

Maritim Malaysia bakal terima aset baharu lebih RM1.5 bilion

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Wira Madani Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima pelbagai aset strategik baharu bernilai lebih RM1.5 bilion dalam usaha memperkukuh keupayaan menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara perolehan utama itu melibatkan dua kapal induk yang sedang dibina di Turki dengan nilai keseluruhan sekitar RM800 juta, selain empat helikopter AW189 bernilai kira-kira RM700 juta.

Katanya, kerajaan turut meluluskan pemasangan radar baharu bernilai RM88 juta di Sabah selain beberapa bot laju yang sedang dalam proses perolehan.

“Ini menunjukkan sokongan kerajaan terhadap Maritim Malaysia berlaku secara kukuh sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

“Pengorbanan dari segi peruntukan ini berbaloi jika ia dapat meningkatkan keupayaan keselamatan negara kerana keselamatan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan dasar yang jelas, peruntukan munasabah dan komitmen agensi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Wira Madani Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, dua kapal induk berkenaan dijangka siap pada awal suku pertama tahun depan dan bakal menjadi antara tarikan utama sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).

“Aset besar seumpama itu penting bagi menghadapi cabaran maritim global termasuk jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN