JUADAH kampung, nostalgia makanan kampung orang Perak boleh dinikmati di Warung Rumah Agam Onyang, Padang Tenggala, Bota Kanan di Perak Tengah.
Pelbagai pilihan menu kampung yang disediakan di rumah makan tersebut iaitu nasi goreng udang, kuetiau goreng, mi goreng tulang, lempeng kelapa, mi udang, mi rebus, nasi goreng onyang, laksa sarang burung dan cendol durian serta pisang keju.

Pelanggan bukan sahaja dapat menikmati keenakan juadah kampung tetapi juga merasai suasana kampung, rumah dan persekitaran klasik di rumah agam berusia lebih 100 tahun iaitu lokasi rumah makan tersebut beroperasi.
Warung Rumah Agam Onyang diusahakan Rohaya Zakaria, 40, sejak dua tahun lalu bermula melalui inspirasi daripada hubungan akrab dia dengan pemilik rumah agam tersebut, Allahyarham Hajah Teh Zahrah yang mesra dengan panggilan Oyang.
Menurutnya, sekitar tahun 1980-an, dia dan adik beradiknya lain kerap tidur di rumah agam itu kerana menemani Oyang yang tinggal seorang diri.
Katanya, selain menemani Oyang, dia juga memasakkan nasi goreng kegemaran Oyang iaitu nasi goreng yang diolah daripada cili kering yang digiling kemudian dimasak menggunakan bawang putih dan bawang mereka, ikan bilis dan belacan.
“Oyang meninggal dunia pada 2018 pada usia lebih 100 tahun. Saya menyewa rumah agam ini sebagai rumah makan sejak dua tahun lalu daripada warisnya dan saya masih memasak nasi goreng seperti apa yang saya masakkan untuk Oyang semasa hayatnya.
“Malah nasi goreng oyang adalah menu killer di rumah makan ini, sangat digemari pelanggan. Kami juga panggil ‘nasi goreng bodoh’ kerana penyediaannya sangat ringkas. Hanya tumbuk cili kering dan goreng dengan nasi.
“Apabila Oyang sudah tiada, resipi nasi goreng kesukaan Oyang menjadi kenangan buat kami, maka jadilah nasi goreng Oyang,” katanya.
Laksa sarang satu lagi hidangan kegemaran yang mana rasanya berbeza dengan di tempat lain kerana menggunakan sepenuhnya ikan sardin hitam, tidak dicampur dengan ikan lain yang murah.
“Ini menjadikan kuah laksa pekat manakala telur goreng yang seakan-akan berbentuk sarang, jika ditarik tidak berminyak,” katanya.
Lempeng kelapa satu lagi makanan kampung yang sangat digemari pelanggan kerana rasanya asli, resipi emak Rohaya sendiri, Kamariah Rawi, 72.
Katanya, lempeng kelapa atau lempeng nyior juga dikenali ‘roti debab’ dalam kalangan penduduk Perak Tengah, luarnya garing manakala dalam lembut yang enak dimakan dengan sambal ikan bilis.
“Istimewanya lempeng kelapa dibakar oleh orang tua yang berumur 72 tahun iaitu emak saya sendiri. Pelanggan bertanya siapa yang bakar lempeng ini. Mereka berpusu-pusu hendak tengok macam mana emak saya membakar lempeng,” katanya.
Lain-lain menu seperti kuetiau goreng, mi goreng tulang, mi udang dan mi rebus juga digemari pelanggan.
Warung Rumah Agam Onyang juga menyediakan cendol durian tetapi hanya pada musim durian dan jika di luar musim raja buah itu hanya disediakan cendol biasa, cendol jagung, cendol pulut dan cendol kacang merah.
“Jika datang ke sini, pelanggan perlu mencuba pisang goreng cheese yang sangat istimewa kerana kita menggunakan pisang nangka, ada rasa masam dan manis, apabila dicampur cheese jadi unik rasanya.
“Biasanya pisang goreng orang guna pisang awak, rasanya hanya manis sahaja tetapi di sini pisang nangka. Bekalan pisang tiada masalah sebab di sini semua kami ambil daripada orang kampung,” katanya.
Terletak di kawasan kampung, 80 peratus pelanggan Warung Rumah Agam Onyang terdiri daripada orang luar iaitu mereka yang balik kampung, ibu bapa yang menghantar anak ke asrama sekolah di Seri Iskandar dan ibu bapa yang membawa mereka mereka bercuti.
Katanya, rumah makan itu memberi peluang kepada pelanggan menikmati makanan kampung yang masih diwarisi oleh generasi hari ini.
“Pelanggan juga dapat merasai suasana kampung di rumah klasik dan persekitaran klasik di rumah agam berusia lebih 100 tahun. Rumah ini sangat terkenal malah menjadi kebanggan masyarakat kampung.
“Vibe klasik di rumah ini juga sangat digemari generasi muda apabila menjadikan rumah agam ini sebagai destinasi membuat content video, fotografi perkahwinan dan majlis-majlis keraian lain,” katanya. –UTUSAN










