PETALING JAYA: Syukur namanya kini lebih dikenali, pelakon, Nazrief Nazri berkongsi momen terendah yang pernah dilaluinya sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang lakonan sepenuh masa.
Menurut Nazrief, dia pernah berdepan dengan masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) sehingga perlu mengetepikan keinginannya untuk membeli barangan peribadi.
“Masa PKP 2.0, saya sedang berdepan masalah kewangan. Waktu itu, isteri tidak bekerja kerana baru lepas bersalin. Kerja berlakon pula tiada sebab PKP. Bisnes takaful juga merudum kerana ramai klien tidak mampu membayar.
“Masa mahu bayar barang dapur di kaunter, ketika juruwang sedang mengimbas, saya asingkan siap-siap barang untuk diri sendiri dan minta juruwang imbas barang dapur untuk keluarga dahulu.
“Bila selesai, tengok duit cukup-cukup hanya untuk barang dapur. Terpaksalah saya letak semula barang untuk diri sendiri itu,” kongsinya di Threads.
Dalam masa sama, pelakon drama Kerana Cinta Itu Dusta itu terpaksa membahagikan komitmed serta membantu menguruskan perniagaan isteri tercinta.
“Pada masa sama, sebab isteri mahu bantu dari segi kewangan sambil jaga anak, dia mula jual syampu secara dalam talian. Saya pun tolong uruskan penghantaran.
“Alhamdulillah, jualannya agak banyak waktu itu. Beberapa tahun kemudian, bila anak sudah tiga tahun, saya buat keputusan untuk kembali berlakon sepenuh masa,” katanya.
Nazrief bagaimanapun bersyukur apabila keputusannya untuk menjadikan karier lakonan sebagai kerjaya hakiki membuahkan hasil, bahkan sudah mampu untuk menampung keluarganya 100 peratus.
“Sehinggalah sekarang anak sudah lima tahun, alhamdulillah daripada isteri terpaksa menampung komitmen bulanan, kini saya pula yang menanggung sepenuhnya.
“Terima kasih banyak kepada penonton yang sentiasa memberi maklum balas positif terhadap lakonan saya selepas saya kembali, daripada Berbahagi Suami, Seribu Tahun, Setiaku Berdiri dan Kerana Cinta Itu Dusta.
“Teruskan menyokong saya. Semoga kerjaya lakonan ini terus maju demi rezeki keluarga saya,” ujarnya.










