Najib tarik balik permohonan hina mahkamah, rayuan tahanan di rumah

Najib tarik balik permohonan hina mahkamah, rayuan tahanan di rumah

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung isu Titah Adendum.

Menurut carian dokumen, surat makluman dan notis pemberhentian oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib bertarikh 3 April itu dihantar ke Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan secara pemfailan atas talian (e-filing).

Notis tersebut sekadar memaklumkan bahawa Najib ingin memberhentikan dan menarik balik rayuan berhubung prosiding hina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan sama dan tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Tiada sebarang alasan dikemukakan dalam notis berkenaan.

Menurut surat balasan daripada Mahkamah Rayuan bertarikh 6 April kepada firma guaman tersebut mengambil maklum surat dan notis pemberhentian itu dan rayuan terbabit telah dibatalkan daripada senarai rayuan sivil di bawah Kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Difahamkan, Najib turut menarik balik rayuan berhubung dalam permohonan semakan kehakimannya bagi mendapatkan perintah supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Pada 13 Mac lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan tidak akan menarik balik permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) Ahmad Terrirudin.

Muhammad Shafee dalam satu sidang akhbar memaklumkan anak guamnya mengambil pendirian itu kerana sudah banyak masa terbuang dan wang ringgit telah dibelanjakan bagi tindakan undang-undang berkenaan.

Asas permohonan itu, salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang diperoleh daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Katanya, kandungan dokumen itu bukan sahaja mengesahkan kewujudan Titah Adendum dan titah diraja mengenai penahanan rumah, malah turut mendedahkan titah itu secara langsung ditujukan kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk melaksanakannya.

Sementara itu, pada 22 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN