Penyokong Najib hampa, dakwa titah Agong dipertikai

Penyokong Najib hampa, dakwa titah Agong dipertikai

SHAHROL Shiro (kiri) ketika menenangkan seorang penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebak selepas keputusan Mahkamah Tinggi, di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyokong Datuk Seri Najib Razak yang berhimpun di luar pintu pagar utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini pulang dengan perasaan hampa selepas mendengar keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani hukuman penjara secara tahanan rumah adalah tidak sah.

Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebanyakan penyokong setia yang menunggu di pekarangan mahkamah sejak seawal pukul 7 pagi hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mereka dakwa berat sebelah. 

Seorang penyokong, Datuk Abdul Munir Othman, 58, mendakwa, keputusan mahkamah itu  seakan-akan mengehadkan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang sepatutnya berada di atas cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Apa yang diputuskan Mahkamah Tinggi hari ini berpotensi mencetuskan krisis perlembagaan kerana mahkamah dilihat seolah-olah mengatasi kuasa Agong, sedangkan Agong merupakan simbol tertinggi negara.

“Jika perkara ini boleh berlaku kepada bekas Perdana Menteri, saya tertanya-tanya apa pula yang akan berlaku kepada rakyat biasa seperti kami. Di mana sebenarnya letaknya kuasa dan keadilan dalam sistem negara hari ini?” katanya ditemui pemberita di pekarangan mahkamah.

Mahkamah Tinggi memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksanaan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61.

Selebriti tempatan, Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 41, berkata, rata-rata penyokong hari ini berasa sedih selepas mengetahui keputusan tidak memihak kepada Najib.

“Hari ini kami mengharapkan sesuatu yang baik, namun perkara itu tidak berlaku. Perasaan sedih jelas dirasai, khususnya dalam kalangan penyokong setia yang hadir.

“Walau bagaimanapun, kami akur dengan keputusan mahkamah. Namun, tidak dinafikan kami berharap ada pertimbangan dan timbang rasa terhadap bekas Perdana Menteri ketika keputusan itu dibuat,” katanya.

Seorang lagi penyokong, Ibrahim Ali, 56, mempersoalkan mengapa titah Yang di-Pertuan Agong dipertikaikan sehingga tidak dilaksanakan sedangkan ia merupakan perintah tertinggi negara. 

“Titah Agong perlu dilaksanakan sama ada ia dibuat secara lisan mahupun bertulis. Dalam kes hari ini, keputusan mahkamah jelas dilihat bermotifkan politik dan tidak berlandaskan keadilan sebenar.

“Keputusan ini memberi kesan sosial yang besar, termasuk berpotensi melemahkan institusi raja-raja dan membuka ruang kepada penolakan sistem kesultanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini